KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mewujudkan dua strategi interim bagi menangani isu pendayaupayaan dan advokasi kepenggunaan yang selari dengan Lemon Law.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN telah menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Lawbermula bulan Jun sehingga November 2024.
“Justeru, penetapan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ataupun pewujudan perundangan baharu akan dimuktamadkan dalam sedikit masa sahaja lagi.
“KPDN juga telah menubuhkan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN sebagai pemudah cara bagi aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor di Malaysia.
“Kaedah rundingan yang akan digunakan adalah rundingan ‘Tripartite’ antara Kementerian, pembeli kereta dan pengedar/pengilang dan bermula 1 Jun 2024 sehingga 30 September 2024, sebanyak 16 aduan telah diterima dan disiasat oleh Pasukan ini,”katanya dalam ucapan Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan berkata strategi kedua adalah pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan surat persetujuan (consent letter) antara institusi perbankan/kewangan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan tebus rugi di Tribunal atau Mahkamah.
“Ini berikutan kesukaran pengguna untuk membuat tuntutan tebus rugi (redress) bagi pembelian kenderaan bermotor disebabkan tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) yang menakrifkan pemilikan kenderaan baharu adalah bank/institusi kewangan yang memberikan perkhidmatan pinjaman, manakala pembeli hanyalah penyewa kenderaan sehingga selesai pembayaran pinjaman.
“Tafsiran tersebut menyukarkan TTPM membuat keputusan yang memihak kepada pembeli,”katanya.
Armizan berkata susulan daripada kerjasama KPDN dan BNM, pada 2 September 2024 lepas, BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan beberapa inisiatif sebelum 3 Disember 2024.
“Antaranya adalah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memproses permohonan surat persetujuan (consent letter) daripada pengguna,”katanya.
Jelas beliau, Consent letter daripada pihak bank/institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman dan pemilik kenderaan sah di bawah Akta 212 ini boleh digunakan oleh pengguna yang membeli kenderaan melalui pinjaman untuk membuat tuntutan tebus rugi di TTPM bagi kenderaan bermotor baharu yang rosak dan tidak dapat dibaiki.
“Pada masa yang sama, institusi perbankan juga telah diminta untuk menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan surat persetujuan daripada pengguna,”katanya.
Menurut Armizan, dua strategi interim ini merupakan inisiatif intervensi oleh Kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada medium penyelesaian yang adil dan berkesan.
“Melalui perundangan sedia ada, pengguna kenderaan terpakai mempunyai platform untuk menuntut hak mereka melalui kaedah tuntutan tebus rugi yang boleh disalurkan kepada TTPM.
“Pengguna boleh mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, selaras dengan prinsip perlindungan pengguna dalam perundangan Malaysia,”katanya.
Tambah beliau, sejak Januari hingga bulan Oktober tahun 2024, KPDN telah menerima 151 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan baharu di TTPM, manakala
sebanyak 238 pemfailan bagi tuntutan kenderaan terpakai.
“Sehingga September 2024, kajian berkenaan pelaksanaan Lemon Law telah melaksanakan usaha termasuklah sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pemain industri,”katanya.