Berita

Lagi kes buli UPNM: Pelajar Tahun 1 retak tulung rusuk, tulang belakang dipijak senior

- Diterbit 11 November 2024 11:18 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian mendatang kecederaan parah melibatkan seorang pelajar Tahun 1, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan itu diterima pada 8 November lalu pada pukul 8.40 malam.

Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Oktober lalu, sekitar pukul 10.45 malam, ketika mangsa berada di tepi padang kawad.

“Mangsa merupakan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun, dilaporkan telah mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat kejadian dipijak oleh seorang pelatih Tahun 3 di universiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan oleh pihak polis,” katanya.

Baru-baru ini seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, bulan lepas.

Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan kejadian yang tular dalam media sosial tentang kes buli melibatkan seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang ditekap pada bahagian dada dengan seterika sehingga meninggalkan kesan lecur.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas apabila menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sebelum ini pada 2017, kisah tragis dan kejam yang menggemparkan negara apabila pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa sehingga hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas