Berita

BRICS: Dasar luar Malaysia tak berubah, kepentingan negara terjaga

- Diterbit 6 November 2024 1:26 PM MYT

KERAJAAN akan sentiasa memastikan kepentingan negara terjaga dan terpelihara biarpun Malaysia diterima menyertai BRICS.

Ia ditegaskan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin di Dewan Rakyat hari ini.

Malah beliau menjelaskan, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil dan berdaya tahan.

“Dalam hal ini, ia diyakini akan memberikan kesan yang positif ke atas kemajuan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai bagaimana kerajaan akan memastikan BRICS tidak mempengaruhi urusan domestik dan politik negara.

Mohamad berkata, BRICS berupaya membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara yang seterusnya dapat meningkatkan
perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) dengan negara-negara anggota BRICS.

Katanya, ia sekali gus mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dasar luar Malaysia juga tidak akan berubah dengan penyertaan organisasi itu.

Jelasnya, sebagai negara berdaulat, Malaysia bebas memilih apa juga organisasi yang ingin disertai, namun ia berdasarkan pertimbangan amat terperinci, yang mampu memberi manfaat kepada negara.

BRICS diasaskan Brazil, Russia, India dan China pada 2009 dan setahun kemudian disertai Afrika Selatan.

Terbaru Malaysia telah diterima sebagai Negara Rakan BRICS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas