Berita

Pencarian MH370: Kerajaan runding tawaran Ocean Infinity

- Diterbit 5 November 2024 1:30 PM MYT

KERAJAAN masih berunding mengenai tawaran syarikat dari United Kingdom, Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia melibatkan lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

Menurut beliau, mengikut prinsip itu, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat terbbabit jika tiada sebarang pesawat yang ditemukan.

“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai status terkini kertas cadangan Ocean Infinity bagi memulakan semula pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 2014.

Anthony Loke berkata, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh (credible) dan boleh dipertimbang kerajaan selaku negara pendaftaran pesawat MH370.

Beliau kemudiannya mengulangi pendirian bahawa usaha untuk mencari pesawat tersebut tidak akan diabaikan kerajaan.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dari 14 negara dan 12 anak kapal warga Malaysia itu dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas