Atlet Wilayah

Dhuha Zulfikry terima habuan RM41,000

MUHAMMAD DHUHA memperoleh RM41,000 dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA ke-21 Sarawak 2024 Kontinjen Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 5 November 2024 11:14 AM MYT

PERENANG muda negara, Muhammad Dhuha Zulfikry menerima wang ganjaran terbanyak dalam kalangan atlet Wilayah Persekutuan berjumlah RM41,000 selepas mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Ogos lalu.

Atlet berusia 16 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang di Sarawak apabila berjaya membolot enam pingat emas dan dua perak selain turut memecahkan empat rekod SUKMA sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.

Muhammad Dhuha berkata ganjaran itu bakal menjadi tonik tambahan buatnya untuk terus menampilkan prestasi cemerlang terutamanya pada Sukan SEA Thailand tahun depan.

“Saya rasa amat bangga dengan pencapaian saya dan gembira kerana menjadi atlet yang meraih insentif terbanyak di Wilayah Persekutuan dan saya harap pada SUKMA yang akan datang, saya mampu mengekalkan kejayaan seperti ini.

“Ganjaran yang diperoleh ini, saya akan simpan dahulu,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kontinjen Wilayah Persekutuan di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Putrajaya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang memberikan insentif kemenangan sebanyak RM1,443,400 kepada 353 atlet, 50 jurulatih dan 27 pengurus pasukan.

Sukan renang menerima insentif terbesar apabila memperoleh RM200,100 setelah berjaya memenangi 16 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa diikuti gimrama yang membawa pulang RM90,000 setelah menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas.

Sebagai rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan memenangi 75 emas, 65 perak dan 73 gangsa di belakang tuan rumah yang meraih 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Kejayaan tersebut membaiki pencapaian SUKMA XX MSN 2022 apabila berada di tempat ketiga dengan kutipan 55 emas, 68 perak, dan 64 gangsa.

Imbuhan berkenaan berdasarkan insentif RM6,000 untuk pemenang emas, RM2,500 untuk perak dan RM1,300 untuk gangsa bagi kategori individu. – WILAYAHKU

Dhuha Zulfikry
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas