Berita

Kerajaan tidak kompromi isu samseng, buli – Anwar

Foto: AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 1 November 2024 3:23 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan berkompromi dan menolak budaya samseng serta buli dalam sektor pendidikan negara.

Beliau berkata budaya gengsterisme tidak sesekali diizinkan berlaku dalam pendidikan bagaimanapun beliau menyifatkan perkara itu hanya berlaku dalam kelompok kecil mahasiswa.

“Jangan tolak ansur. Kita beri amaran dan nasihat budaya samseng dan buli di sekolah-sekolah termasuk tahfiz dan sekolah agama mesti dihentikan.

“Ini cabaran pada kita. Guru besar, pengetua, naib canselor dan pengetua kolej juga perlu bertanggungjawab untuk melihat bagaimana hentikan budaya buruk (ini),” katanya di Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Awam (UPNM), Sungai Besi, Selangor.

Beliau berkata demikian susulan kes seorang pegawai kadet di UPNM yang didakwa menjadi mangsa dera oleh seorang penuntut senior baru-baru ini.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes seorang pegawai kadet di UPNM dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata siasatan terperinci terhadap kes itu sedang dilaksanakan pihaknya.

Kelmarin ATM dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli serta dera oleh seniornya dengan menekap seterika pada bahagian dada mangsa sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Sementara itu, Anwar berkata budaya buruk seperti buli perlu dihentikan kerana terlalu banyak aduan yang diterima.

“(Kes) itu tahu apabila kebetulan terbongkar di media sosial tetapi ini mesti dihentikan. Naya anak-anak,” katanya. – WILAYAHKU

Foto: AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas