KEJAYAAN Felcra Berhad mencatatkan peningkatan pengagihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 hampir RM82 juta atau 168 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas bukti komitmen syarikat itu membangunkan inovasi dalam operasi perladangan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata inovasi berterusan yang dilaksanakan oleh Felcra berjaya membangunkan tanah-tanah yang dahulunya berpaya dan menjadi habitat hidupan liar kini maju dengan pelbagai tanaman agrikomoditi yang memberi keuntungan berlipat ganda.
Beliau turut menyarankan Felcra memperkembangkan operasi ladang menerusi penggunaan teknologi seperti
dron, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) yang terbukti bukan sahaja dapat meningkatkan hasil tanaman tetapi juga memastikan proses pertanian lebih efisien dan berkesan.
Saranan tersebut disambut baik oleh Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub yang memaklumkan perancangan Felcra untuk memperluaskan peranannya dalam mengintegrasikan perniagaan komersial dan mandat sosial dengan lebih strategik.
Ahmad Jazlan berkata antaranya melalui pembangunan agropreneur dalam kalangan peserta dan masyarakat luar bandar dan pelancongan desa serta eko pelancongan.
Rubiah dan Ahmad Jazlan berkata demikian ketika Majlis Felcra Visionary Awards 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Majlis itu dianjurkan bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai inisiatif cemerlang dalam inovasi dan pengurusan oleh para peneraju dan warga Felcra.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 berjumlah RM129.81 juta itu akan dibayar secara berperingkat sekali gus memanfaatkan hampir 68,000 peserta di seluruh negara.
Semalam, Rubiah berkata semua syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan bagi tahun 2024.
Rubiah berkata Felcra Berhad Sdn Bhd pula mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM116.27 juta setakat September tahun ini, berbanding RM41.61 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas. – WILAYAHKU