Berita

Kontinjen Wilayah Persekutuan SUKMA 2024 terima insentif lebih RM1.4 juta

- Diterbit 24 Oktober 2024 2:35 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan keseluruhan insentif kemenangan berjumlah lebih daripada RM1.4 juta bagi meraikan kejayaan atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) yang beraksi cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024.

Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA ke-21 Sarawak 2024 Kontinjen Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini.

Zaliha berkata jumlah keseluruhan insentif kemenangan bagi SUKMA ke-21 yang berjumlah RM1,443,400 itu diberikan kepada 354 orang atlet, 50 orang jurulatih dan 27 orang pengurus pasukan dengan mengambil kira penambahan insentif bonus yang diumumkan beliau.

“Sukan akuatik renang menerima insentif terbesar dengan memperoleh RM200,100 apabila berjaya memenangi 16 pingat emas, lapan pingat perak dan tujuh pingat gangsa diikuti dengan sukan gimrama yang membawa pulang keseluruhan RM90,000 apabila menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas yang dipertandingkan.

“Insentif bonus yang diberikan pada kali ini adalah berdasarkan pencapaian cemerlang kontinjen Wilayah Persekutuan yang menduduki kedudukan kedua keseluruhan sekali gus mengatasi sasaran 70 pingat emas yang diletakkan sebelum SUKMA ke-21 berlangsung,” katanya ketika Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA ke-21 Sarawak 2024.

Terdahulu, kontinjen Wilayah Persekutuan memenangi 75 pingat emas, 65 perak dan 73 gangsa dengan keseluruhan 213 pingat di belakang tuan rumah, Sarawak yang memenangi 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa yang muncul juara keseluruhan pada edisi ke-21 SUKMA.

Zaliha berkata atlet Wilayah Persekutuan turut memperbaharui 12 rekod temasya pada SUKMA 2024.

“Kejayaan kontinjen Wilayah Persekutuan ini sekali gus membaiki pencapaian pada SUKMA XX MSN 2022 apabila berada di tempat ketiga keseluruhan dengan 55 pingat emas, 68 pingat perak dan 64 pingat gangsa,” ujarnya.

Selain itu, Zaliha turut mengumumkan insentif bonus tambahan yang berjumlah antara RM300 (pingat gangsa), RM500 (pingat perak) hingga RM1,000 (pingat emas).

“Untuk pingat emas, kita tambah lagi RM1,000, perak RM500 dan gangsa sebanyak RM300 bagi kedua-dua kategori iaitu individu dan berpasukan.

“Pada temasya kali ini, jurulatih dan juga pengurus pasukan juga menerima insentif atas kejayaan sukan. Insentif yang ditawarkan bagi jurulatih untuk kategori sukan individu dan berpasukan sebanyak RM1,000 dan acara berpasukan RM500.

“Pengurus pasukan pula menerima insentif RM500 bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas,” ujarnya.

Sebelum ini beliau mengumumkan insentif habuan wang tunai berjumlah RM5,000 menanti atlet kategori individu yang memenangi pingat emas pada temasya SUKMA 2024 manakala kategori berpasukan bakal menerima imbuhan sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 sebagai pembakar semangat kontinjen.

Untuk pingat perak, atlet individu bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, RM1,000 hingga RM1,500 pula untuk atlet berpasukan manakala pemenang gangsa menerima RM1,000 dan atlet berpasukan (RM500 hingga RM700).

Dalam pada itu, perenang lelaki, Muhammad Dhuha Zulfikry yang memenangi enam pingat emas, dua perak dan memecahkan empat rekod SUKMA yang baharu dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XXI Sarawak 2024 Kontinjen Wilayah Persekutuan.

Perenang wanita, Chong Xin Lin muncul Atlet Wanita Terbaik SUKMA XXI Sarawak 2024 Kontinjen Wilayah Persekutuan atas pencapaiannya memenangi empat pingat emas, dua perak dan juga memecahkan tiga rekod temasya.

Kontinjen Wilayah Persekutuan menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan penyertaan keseluruhan 1,019 atlet dan pegawai (709 atlet) pada SUKMA XXI Sarawak 2024 dan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Sementara itu, jaguh badminton beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik turut menerima insentif kemenangan sebanyak RM50,000 atas kejayaan memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2024 Paris. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas