Berita

Jaga kesihatan reproduktif

PESERTA mengambil peluang melakukan saringan kesihatan sepanjang program berlangsung.
- Diterbit 23 Oktober 2024 10:42 AM MYT

KIRA-KIRA 500 pelajar Universiti Malaya (UM) menyertai Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif UM 2024 yang diadakan bersempena Sambutan Hari Kesihatan Seksual Sedunia (World Sexual Health Day) baru-baru ini.

Ia disambut setiap tahun dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Klinik UM, Dr Zuraidah Mohamed berkata menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih satu juta jangkitan penyakit kelamin dikesan setiap hari di seluruh dunia menjadikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan seksual semakin kritikal.

“Justeru itu, kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seksual seperti HIV/AIDS serta jangkitan kelamin lain.

“Peningkatan kesedaran dan akses kepada maklumat ini boleh membantu mencapai Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 3.3, yang bertujuan menamatkan wabak HIV dan mengawal penyakit berjangkit lain seperti Hepatitis dan malaria.

“Lebih 500 pelajar menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program, termasuk ceramah kesihatan, pameran interaktif, sesi konsultasi peribadi dan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zuraidah berkata program kesedaran ini menyediakan maklumat penting tentang pelbagai aspek kesihatan seksual dan reproduktif seperti perancangan keluarga, pendidikan seks serta pencegahan penyakit kelamin.

“Ini selari dengan SDG 3.7, yang menyeru akses universal kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif.

“Dengan adanya program seperti ini, lebih ramai individu akan berupaya membuat keputusan yang lebih baik berkaitan dengan kesihatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Affan Nasaruddin berkata program tersebut disambut baik oleh para pelajar dan telah membantu membuka mata mereka.

Terdahulu, program tersebut merupakan anjuran Klinik UM dengan sokongan pelbagai pihak seperti pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains UM, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai serta Pusat Pembangunan Lestari UM dan telah diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas