Berita

KL destinasi kreatif

PENTAS Seni Merdeka hidupkan budaya di ibu kota.
- Diterbit 23 Oktober 2024 10:27 AM MYT

PENTAS Seni Merdeka kini kembali untuk tahun ketiga dalam usaha menghidupkan semangat sejarah dan budaya di Kawasan Warisan Dataran Merdeka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata program tersebut bertujuan untuk mentransformasi Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan mengaktifkan ruang awam dan menyerlahkannya sebagai destinasi kreatif.

“Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai Bandar Kreatif UNESCO. Program seperti Pentas Seni Merdeka merupakan contoh nyata bagaimana kita boleh memperkukuhkan kedudukan bandar ini di peringkat nasional dan antarabangsa, menjadikannya destinasi kreatif yang diiktiraf.

“Dengan usaha berterusan ini, kita akan terus mengetengahkan ibu kota Kuala Lumpur, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata sebagai sebahagian daripada Festival Kreatif KL, inisiatif ini antara hasil positif Memorandum Persefahaman (MoU) antara Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan Pelan Induk Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur serta Kerangka Ekonomi Madani.

“Pentas Seni Merdeka, sebahagian daripada Festival Kreatif KL, bukan sahaja menghidupkan ruang awam dan warisan sejarah, tetapi juga membuka lebih 500 peluang pekerjaan dalam industri kreatif. Dengan lebih 100 acara di lima presint utama pusat bandar, termasuk Presint Sivik, Segi Tiga Warisan, Jalan Peruncitan Tradisional, festival ini terus mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai destinasi kreatif.

“Menerusi program ini, ia menampilkan persembahan tradisional Adiguru atau Tokoh Seni tempatan serta serantau kepada khalayak ramai. Dalam edisi tahun ini, Ronggeng Melayu, seni tarian tradisional yang lahir daripada pertembungan budaya di Selat Melaka, menjadi tumpuan utama.

“Persembahan ini dipersembahkan oleh Nusantara Performing Arts Research Centre (NusPARC) dan Nyala Dance Theatre, bersama penari berbakat tempatan.

“Selain itu, pentas dimeriahkan dengan persembahan oleh Kombo Budaya DBKL, Artis Budaya DBKL dan Artis Tari Kanak-Kanak DBKL, diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi Syura serta hos popular DJ Sonic Hussein,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata kerjasama antara Think City, DBKL, Kementerian Kewangan dan rakan strategik telah membawa impak positif yang ketara dan beliau yakin lebih banyak kejayaan boleh dicapai bersama.

Untuk rekod, Pentas Seni Merdeka dibawakan oleh Think City dan DBKL dengan sokongan Kementerian Kewangan serta Yayasan Hasanah dan akan diteruskan pada 9 November 2024, menampilkan Tarian Branyo & Malio, dengan kerjasama PUSAKA. Untuk program penuh dan butiran acara, layari kreatifkl.com. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas