TERDAPAT dakwaan mengatakan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan kendalian syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terabai.
Malah ada yang mendakwa sebahagian besar kanak-kanak itu bukanlah dalam kalangan keluarga GISBH dan kononnya ‘dikambinghitamkan’ bagi memenuhi hasrat kerajaan mahu menjatuhkan ekonomi umat Islam.
Bukan itu sahaja, ada yang menuduh, kanak-kanak yang dijaga JKM itu sengaja dipisahkan daripada ibu bapanya yang bukan ahli GISBH.
Menjawab tuduhan yang dilemparkan, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Dr Sopian Brahim berkata kanak-kanak tersebut ditempatkan di rumah perlindungan JKM di seluruh negara.
“Kanak-kanak (anak ahli GISBH) dijaga dengan baik seperti mana kenyataan menteri sebelum ini.
“Insya-Allah, kita (JKM) mengikut prosedur perundangan ditetapkan yang perlu kita akur. Mereka ada di institusi kita yang sudah digazetkan sebagai tempat selamat,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Beliau berkata perincian lanjut berhubung kanak-kanak terbabit diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy dilaporkan berkata, segelintir daripada kanak-kanak yang diselamatkan didapati tidak mempunyai kad pengenalan diri serta mengaku tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa atau keluarga.
Beliau menegaskan pihaknya tidak mempunyai niat untuk memisahkan kanak-kanak berkenaan daripada ibu bapa mereka dan langkah yang diambil ini adalah mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata daripada 660 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global, seramai 559 mendapat perintah mahkamah untuk mendapat penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember ini.
Terdahulu, media melaporkan JKM bersedia menyerahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH kepada ibu bapa masing-masing sekiranya penjaga mengemukakan kepada mahkamah dokumen pengesahan seperti surat beranak dan kad pengenalan diri. – WILAYAHKU