SELAKU Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan berusaha untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN selain membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara anggota.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia mampu dicapai melalui dialog yang berterusan, diplomasi dan kemuafakatan.
Menurutnya, Malaysia juga akan mempromosikan perdagangan dan pelaburan intra ASEAN.
“Malaysia berbesar hati untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dengan menerajui persatuan ini dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Wisma Putra pada Selasa.
Beliau memberitahu, Malaysia komited memastikan elemen keterangkuman dan kemampanan menjadi fokus utama dalam usaha-usaha pembangunan komuniti serantau.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa tahun 2025 merupakan tahun bersejarah bagi ASEAN dalam meraikan ulang tahunnya ke-10 bagi penubuhan rasmi Komuniti ASEAN.
“Tahun 2025 akan menjadi satu lagi pencapaian penting bagi ASEAN kerana ia akan menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045.
“Ia akan merangka hala tuju strategik ASEAN pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Terdahulu diadakan pelancaran logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Wisma Putra, Putrajaya.
Majlis pelancaran dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras Tonggak Ekonomi ASEAN serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Semasa majlis tersebut, turut diperkenalkan logo rasmi Kepengerusian ASEAN 2025 yang direka Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir, pemenang pertandingan logo ASEAN. – WILAYAHKU