Berita

Lebih RM230 juta perhebat pembangunan sukan negara

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:28 PM MYT

PEMBANGUNAN sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM230 juta.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini meliputi program podium, latihan atlet dan Road to Gold, persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025, kerja-kerja menyelenggara, membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada Pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18 dan bawah 13 dengan kerjasama FAM bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.

“Berikutan sambutan hangat saat berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket.

“Baru-baru ini juga, Selangor Red Giants telah bergelar juara dunia bagi e-Sports World Cup. Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan,”katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan oleh kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam masa sama, Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris.

“Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul pingat emas.

“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita, Saudari Pearly dan Saudari Thinaah serta beregu lelaki, Saudara Sze Fei dan Saudara Izzuddin yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas