Berita

Lulus RUU untuk SEGiM

- Diterbit 18 Oktober 2024 12:24 PM MYT

KERAJAAN diharap membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk pekerja gig pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung supaya Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat ditubuhkan.

Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap RUU itu akan diluluskan dan mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen.

“Saya difahamkan bahawa sidang Parlimen kali ini kita akan membawa satu RUU iaitu untuk pekerja atau penggiat GIG.

“Dengan lulus RUU tersebut, kita akan menubuhkan RUU ini. RUU itu akan dibawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Selagi tak lulus, selagi itu tak boleh tubuh SEGiM,” katanya.

Sementara itu, Sharkar berkata perkara tersebut diharap termasuk dalam pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober (Jumaat).

Beliau berkata inisiatif itu penting bagi menjamin masa depan golongan yang terbabit dalam industri gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

“Kita berharap di dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri akan selitkan tentang bajet untuk keperluan GIG seperti skim insurans dan subsidi.

“Bajet untuk latihan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini membolehkan mereka berhijrah ke  pekerjaan baru yang lebih tetap dari segi pendapatan,” katanya.

P-hailing bermaksud perkhidmatan penghantaran menggunakan kenderaan bermotor, terutamanya motosikal untuk menghantar barangan seperti makanan, dokumen  atau bungkusan manakala e-hailing ialah perkhidmatan menempah kenderaan atau teksi melalui aplikasi mudah alih atau platform dalam talian.

Terdapat lebih daripada 200,000 penghantar p-hailing yang berdaftar di seluruh negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata penubuhan SEGiM adalah satu perkara yang amat penting untuk direalisasikan bagi kerajaan.

Beliau berkata ini termasuk dengan menstruktur semula dan seterusnya mengawal selia keseluruhan ekosistem industri gig di Malaysia iaitu sektor e-hailing dan p-hailing.

“Umum mengetahui industri gig adalah unik kerana ia melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

“Sudah pasti pihak kerajaan perlu mewujudkan satu badan kawal selia khusus bagi menghimpunkan setiap kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Menurut Hakim, satu akta dan dasar serta perundangan yang benar-benar adil, melibatkan pemegang-pemegang taruh yang terlibat diperlukan.

Beliau berkata pastinya pihaknya tidak mahu perundangan e-hailing yang diwujudkan pada tahun 2018 yang sehingga kini terbukti tidak dapat membela rakan-rakan pemandu e-hailing secara keseluruhannya.

Katanya, diharapkan SEGiM dapat menutup kelemahan-kelemahan yang selama ini berlaku dalam industri gig.

“Sebagai contoh persaingan yang tidak sihat di antara syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, yang akhirnya menjadi mangsa percaturan perniagaan di antara mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas