BAGI melancarkan urusan parkir di Terminal Feri Antarabangsa Labuan (TFAL), teknologi terkini Pengiktirafan Plat Lesen (LPR) tanpa wang tunai bakal dilaksanakan pada 15 Oktober ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LDA Labuan Holding Sdn Bhd, Noor Halim Datuk Zaini, pihaknya bekerjasama dengan Matrix Parking Solution Bhd dalam melaksanakan teknologi terkini LPR tersebut.
“Sistem LPR merupakan satu sistem yang mengimbas nombor plat kereta yang memasuki kawasan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
“Setiap kenderaan yang memasuki ruangan yang digazetkan, sistem LPR akan diimbas semasa masuk dan keluar. Pengguna hanya perlu membuat pembayaran pada mesin yang ditempatkan.
“Pembayaran boleh dilakukan dengan menggunakan kad debit, kad kredit dan QR,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian LPR dan Bayaran Tanpa Tunai serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara LDA Holding dan Matrix Parking Management Sdn Bhd baru-baru ini.
Katanya, LDA sebagai ahli sekretariat Smart City Perbadanan Labuan mengambil langkah proaktif untuk membantu Labuan sebagai bandar pintar dengan penggunaan teknologi terkini dan transaksi pembayaran tanpa tunai iaitu bayaran secara dalam talian.
“Bagi kenderaan yang memasuki kawasan TFAL tidak melebihi 15 minit tidak dikenakan sebarang bayaran manakala kenderaan yang masuk melebihi 15 minit akan dikenakan bayaran RM1 pada jam pertama dan tambahan RM0.50 sen setiap jam berikutnya.
Tambahnya, pihaknya juga melaksanakan sistem parkir LPR di dua kawasan seliaannya iaitu di kawasan parkir Jalan Merdeka dan di Jalan Kemajuan yang masih dalam proses pembinaan. – WILAYAHKU