Berita

LHDN tidak pernah keluarkan kenyataan, maklumat di WhatsApp guna nama CEO

- Diterbit 16 Oktober 2024 6:52 PM MYT

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau maklumat teks menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut LHDN, sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Persekutuan, pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan nama pegawai tertingginya itu di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“LHDN ingin menarik perhatian umum berhubung maklumat teks yang tular menerusi aplikasi Whatsapp menggunakan nama CEO LHDN.

“Justeru ingin ditegaskan bahawa LHDN tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

LHDN menambah, secara amnya sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

“Tiada sebarang teks menerusi aplikasi WhatsApp boleh dilakukan tanpa kebenaran dan LHDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, LHDN ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk teks WhatsApp, e-mel, pautan yang mencurigakan serta laporkan mesej dan sekat nombor tersebut,” katanya.

Katanya, sebarang semakan maklumat berkaitan percukaian boleh dibuat menerusi saluran yang sahih.

“Kita memandang serius berkenaan isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“LHDN akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif bagi menangani isu ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas