Berita

Menteri Agama nafi dakwaan RUU Mufti digubal secara tergesa-gesa

- Diterbit 15 Oktober 2024 2:25 PM MYT

DAKWAAN sesetengah pihak bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti) digubal secara tergesa-gesa adalah tidak benar.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang.

Malah katanya, suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan sejak 2021.

“Ia bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Penubuhannya (Jawatankuasa Penggubalan) bertujuan mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Na’im berkata, jawatankuasa tersebut dianggotai wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Katanya, penggubalan RUU Mufti adalah usaha yang diambil kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasa institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Beliau menambah, menerusi pemerkasaan ini bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas