Berita

Siasatan rasuah: Tiada arahan khusus diberikan kepada SPRM, hanya arahan umum

Foto: BERNAMA
- Diterbit 15 Oktober 2024 2:05 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang arahan khusus diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sebarang siasatan dilakukan agensi terbabit.

Ia menjawab dakwaan agensi berita antarabangsa, Bloomberg kononnya beliau bertindak campur tangan dalam siasatan SPRM.

Untuk itu beliau turut menegaskan bahawa situasi sebenarnya yang berlaku hanyalah ‘arahan umum’ yang diberikannya termasuk di Parlimen.

“SPRM sendiri telah membuat kenyataan yang tegas menafikan tohmahan tersebut.

“Apa yang berlaku hanyalah arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen bahawa saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan badan-badan penguat kuasa bertindak memerangi rasuah tanpa tolak ansur dan badan penguatkuasaan memerangi jenayah dengan tegas,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar memberitahu, arahan itu adalah yang diberikan tetapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) bertindak bebas dan telus ‘without fear or favour’.

Beliau berkata, tohmahan tersebut bukanlah kali pertama dibuat agensi media berkenaan kerana sebelum ini pernah membuat satu tohmahan berbahaya.

“Yang kedua ini adalah laporan pada 26 September lalu tentang arahan kepada SPRM. Setakat ini tindakan perundangan sedang diteliti PDRM.

“PDRM telah mengambil tindakan termasuk memanggil wakil Bloomberg dan individu-individu terkait pada 1, 8 dan 11 Oktober lalu.

“Oleh kerana dalam siasatan PDRM, saya serah kepada PDRM untuk menyiasat dan untuk Peguam Negara mengambil tindakan yang sesuai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas