KERAJAAN akan memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati pembangunan dan kemakmuran negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Putrajaya semalam.
Menurut Anwar, mesyuarat itu adalah platform untuk kerajaan menekuni permasalahan kos sara hidup serta berbincang mengenai kaedah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan indikator ekonomi Malaysia yang menunjukkan prestasi memberangsangkan kebelakangan ini, hanya mampu dimaknai sekiranya ia diterjemah dalam kehidupan rakyat terbanyak.
“Dalam ruang yang sama, saya meminta Ketua Setiausaha Negara memastikan tindakan segera diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan setelah sesuatu keputusan dicapai,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Anwar turut mengulangi gesaan menuntut perkhidmatan awam menekankan aspek kepantasan, ketelusan dan penjimatan bagi meningkatkan tatakelola dan mutu penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan memastikan semua dasar dan inisiatif yang direncana akan mengutamakan agenda kebajikan rakyat. – WILAYAHKU