Artikel

Kepengerusian ASEAN 2025: Wilayah Persekutuan cerminan kehebatan Malaysia

- Diterbit 14 Oktober 2024 6:20 PM MYT

TAHUN 2025 bakal menyaksikan giliran Malaysia mempengerusikan ASEAN. Kepengerusian ini tiba pada waktu yang amat tepat, di kala Datuk  Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dianggap sebagai tokoh dari rantau ini yang bukan kaleng-kaleng reputasinya. Sejak menerajui Malaysia, kepimpinan beliau dan pasukan MADANI melalui dokongan rakyat jelata telah membuktikan negara bertuah ini mampu bangkit mendunia di persada antarabangsa. Seluruh rakyat Malaysia telah berjaya digembleng bersama untuk bergerak sebagai suatu pasukan yang membolehkan peningkatan dalam bidang ekonomi, perdagangan, perbankan, teknologi, kesihatan, pendidikan, sosial, budaya dan keselamatan dapat dicapai dengan kadar yang amat pantas.

Kerajaan MADANI ini yang telah membuktikan melalui pengukuhan tatakelola dalam menjaga amanah negara pasti membawa bersama keberkatan dengan pencapaian-pencapaian yang memberangsangkan demi negara. Mana mungkin semua ini dapat dicapai sendirian oleh kerajaan, melainkan rakyat Malaysia sendiri yang turut bersama menjayakan agenda mempertingkat martabat, harakat dan darjat Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang terbaik di dunia. Melalui perpaduan yang kembali erat, permusuhan dan pertikaian yang semakin terpadam, telah muncul keyakinan baharu yang membentuk kesepakatan merentas perbezaan agama, kaum dan kecenderungan politik di bawah kerangka Malaysia MADANI. Dokongan rakyat semakin kuat untuk menjayakan agenda besar menjadikan Malaysia negara terbaik di dunia. Hasutan-hasutan sumbang untuk memecah-belah perpaduan semakin tidak mendapat tempat dan ditolak oleh rakyat yang cintakan keharmonian negara. Formula perpaduan inilah yang membolehkan Malaysia kembali di landasan yang betul dalam menuju sebuah negara yang hebat dan disegani.

Justeru, apabila tiba giliran Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, ia ibarat suatu hadiah istimewa kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia hadir tepat pada waktunya. Keyakinan yang semakin menjulang terhadap kemampuan negara untuk menerajui rantau ini seiring dengan ekonomi Malaysia yang semakin mengukuh, di kala ringgit menjadi mata wang terbaik dunia, inflasi pada tahap yang amat terkawal, produktiviti terus meningkat, kadar pengangguran semakin menurun, kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan berkesan dan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji serta skim perkhidmatan yang lebih baik.

Sudah pasti limpahan kemakmuran ini mula dirasai oleh rakyat. Kemampuan berbelanja semakin baik. Peluang melancong ke destinasi pilihan dapat dipenuhi. Keinginan membeli-belah sedikit demi sedikit dapat dinikmati. Anak-anak muda graduan pusat pengajian tinggi dan pelatih-pelatih TVET telah mula memasuki pasaran kerja dengan menerima gaji yang lebih munasabah dan bermaruah.

Ibu bapa sudah pasti merasa lega anak-anak mereka tidak menunggu lama untuk memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ini semua limpahan kemakmuran apabila sebagai suatu pasukan negara, seluruh rakyat Malaysia dengan penuh keyakinan mempercayai waktunya telah tiba untuk kita memimpin dunia. Kemakmuran yang dicapai ini juga suatu maruah negara yang kembali dihargai dan didambakan sekian lama oleh setiap rakyat Malaysia di seluruh negara. Malaysia kembali gah dan bersedia untuk mendunia.

Sudah pasti tumpuan akan banyak terarah di Wilayah Persekutuan apabila pelbagai program dan acara berkaitan kepengerusian ASEAN bakal diadakan. Justeru Wilayah Persekutuan bakal menyaksikan kehadiran sahabat-sahabat kita dari lain-lain negara ASEAN serta serata pelosok dunia ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Ini merupakan suatu penghormatan dan penghargaan apabila setiap warga Wilayah Persekutuan sendiri bakal menjadi duta kecil negara.

Justeru warga Wilayah Persekutuan akan menjadi cerminan kepada pelawat asing akan betapa Malaysia ini suatu negara yang hebat dilimpahi kemakmuran ekonomi, kehebatan sejarah, kecerdasan pemikiran, kebersihan segenap aspek, tatakelakuan yang sopan serta yang paling utama, perpaduan merentas kepelbagaian agama, etnik dan budaya yang menjadi kekuatan negara. Wilayah Persekutuan adalah cerminan tamadun Malaysia yang sejahtera.

Imej Malaysia bakal terletak di bahu Wilayah Persekutuan yang bakal menjadi tumpuan dalam acara-acara antarabangsa. Justeru baik dari sisi jentera kerajaan, komuniti warga Wilayah Persekutuan, para peniaga dan usahawan serta setiap individu yang menghuni Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, tanggungjawab mulia ini harus digalas bersama.

Sudah pasti apabila warga Wilayah Persekutuan mampu menggalas tanggungjawab ini, saudara-saudara kita di negeri-negeri lain juga akan  turut bersama merasakan mereka mampu menjadi tuan rumah yang lebih baik dalam menyambut kebanjiran tetamu luar kelak. Inilah contoh dan teladan yang mampu digembleng demi menjayakan agenda Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di tahun 2025.

Hebatnya Malaysia ini dicerminkan terlebih dahulu akan hebatnya Wilayah Persekutuan sebagai lambang sebuah Persekutuan Malaysia yang bernaung di bawahnya negeri-negeri yang bersepakat untuk hidup bersama. Bersekutu Bertambah mutu, moto yang terpahat di Jata Negara dizahirkan dengan kepelbagaian warga Wilayah Persekutuan yang seiring bersama beriltizam menjayakan perpaduan yang dicetuskan dari generasi terdahulu, dihayati kini dan sudah pasti untuk diwarisi generasi akan datang. Wilayah Persekutuan adalah simbol kehebatan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman dan sejahtera.

Masanya telah tiba kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kita terus melangkah jauh memimpin rantau Asia Tenggara dan seterusnya memimpin dunia. Ayuh kita jadikan agenda Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 sebagai suatu peluang dan sumbangan kita mempertingkat martabat negara di persada dunia. Moga Malaysia terus makmur dan maju serta dilimpahi keberkatan yang Maha Esa.

PENULIS Khairil Hilmi Mokhtar merupakan Penganalisis Keselamatan Geo-Strategik, Pejabat Perdana Menteri

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas