Oleh ZULKIFLI SULONG
MENTERI Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2025 ini sangat istimewa kerana ia dibentangkan ketika ekonomi negara sedang mencanak naik antaranya nilai ringgit, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK atau GDP), nilai pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan juga kadar inflasi.
Kesemua angka daripada alat pengukuran ekonomi di atas menunjukkan kenaikan atau kebaikan yang ketara.
Terbaharu, Malaysia disenarai sebagai negara berpendapatan pertengahan atas (upper middle income group) dalam kalangan ekonomi dunia.
World Intellectual Property Organisation (WIPO) atau Organisasi Harta Intelek Sedunia menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua dalam kumpulan pendapatan pertengahan atas.
Penyenaraian ini dibuat dalam senarai negara paling inovatif pada tahun 2024. Malaysia disenaraikan bersama China dan Turkiye dalam kumpulan itu ketika Switzerland, Sweden dan Amerika Syarikat disenaraikan sebagai negara berpendapatan tinggi.
India dan Vietnam pula disenaraikan sebagai negara yang berada dalam pendapatan pertengahan rendah (lower middle income) dalam senarai lapan negara paling inovatif untuk tahun 2024. Senarai ini adalah berdasarkan Indeks WIPO 2024.
Dengan suasana yang penuh citra positif inilah Belanjawan 2025 akan dibentangkan pada Jumaat 18 Oktober ini.
Ekoran itu, sudah pastilah besar harapan yang diberikan oleh rakyat negara ini terhadap belanjawan kali ini.
Bagi 1.6 juta penjawat awam, sudah tentulah fokus mereka akan tertumpu kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sistem saraan baharu ini bertujuan untuk memperkasakan perkhidmatan awam, menampilkan komitmen kerajaan dalam memastikan penjawat awam mendapat pelarasan gaji secara berperingkat. Fasa pertama pelarasan ini akan bermula pada 1 Disember diikuti fasa kedua pada 1 Januari 2026.
Di samping itu, pelbagai pihak lain membuat permohonan kepada kerajaan untuk dimasukkan dalam belanjawan kali ini.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) memohon kerajaan agar memperluaskan pelepasan cukai untuk insurans perubatan dan kesihatan dalam Belanjawan 2025 ini.
Pelepasan cukai itu sewajarnya merangkumi premium insurans perubatan dengan pelan pembayaran bersama dalam pelepasan cukai RM8,000 sedia ada untuk perbelanjaan perubatan meliputi diri, pasangan dan anak-anak.
“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan gabungan pelepasan cukai untuk insurans pendidikan, perubatan serta kesihatan daripada RM3,000 kepada RM6,000,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell.
Kerajaan juga diminta menangani isu keselamatan siber dalam belanjawan kali ini berikutan kerugian kira-kira RM1.3 bilion pada 2023 akibat kes penipuan dalam talian.
Profesor Kuliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Dr Mohamad Fauzan Nordin berkata kerajaan perlu melaburkan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk memastikan keselamatan siber Malaysia lebih kukuh.
Pemimpin industri media di Sabah juga berharap Belanjawan 2025 memberikan tumpuan untuk menambah baik industri mereka.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui berkata pengamal dan industri media di negeri itu perlu diberi galakan berupa insentif dan subsidi memandangkan prasarana telekomunikasinya masih ketinggalan berbanding di Semenanjung disebabkan keadaan geografi dan topografinya.
Majlis Paralimpik Malaysia pula berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian dana RM10 juta kepada majlis itu menerusi Belanjawan 2025 bagi menyediakan program akar umbi untuk mereka.
Pendek kata, semua pihak mempunyai harapan masing-masing kepada belanjawan kali ini.
Perdana Menteri pula telah memberikan beberapa petunjuk tentang apa yang akan beliau bentangkan dalam belanjawan .
Dalam wawancara beliau dengan CNBC, Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan atau gaji pekerja dan menguruskan isu inflasi dalam Belanjawan 2025 ini.
Beliau berkata walaupun harga barangan seperti minyak masak, petrol dan tepung lebih murah di Malaysia berbanding negara serantau, masih terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada menaikkan tahap pendapatan.
“Tahap pendapatan tidak naik (walaupun) produktiviti atau pelaburan meningkat. Kami perlu memberi tumpuan kepada isu ini. Inilah yang saya laksanakan dalam perkhidmatan awam. Kami menaikkan gaji penjawat awam, yang tidak diberi perhatian sejak 12 tahun lalu.
“Kita perlu menjaga pekerja kita. Kemudian, kita boleh menggunakan dorongan moral terhadap konglomerat sektor swasta. (Sebagai contoh), jika anda mencatatkan keuntungan antara RM1 bilion dan RM4 bilion, anda tidak boleh (mewajarkan) membayar pekerja anda dengan cara sedemikian.
“Saya rasa perlu ada tekanan untuk menaikkan tahap pendapatan kerana walaupun terdapat kebimbangan mengenai harga, ia adalah kerana gaji yang rendah,” kata beliau.
TULISAN ini sekadar pandangan penulis yang juga mempunyai harapan besar terhadap Belanjawan kali ini.