Berita

Dakwaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan gugat kebebasan rakyat tidak benar – Menteri Agama

- Diterbit 13 Oktober 2024 10:10 AM MYT

DAKWAAN penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar.

Hakikatnya tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun katanya, kebebasan tersebut tidaklah bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).

“Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.

“Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar maka ia hendaklah berlandaskan hukum syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan merupakan ciri sebuah negara berdaulat kerana tiada seorang bebas melakukan sebarang pelanggaran terhadap prinsip keluhuran Perlembagaan.

Katanya, sekatan kebebasan seseorang itu tidak bermakna dakwaan berlaku perlanggaran terhadap hak asasi itu benar kerana keabsahan suatu hak asasi itu ditentukan oleh Perlembagaan.

Sebagai contoh katanya, ialah fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Terdapat juga sesetengah pihak yang keliru dan salah faham terhadap fungsi dan kuasa mufti di bawah sistem perundangan negara. Sesungguhnya tindakan mempertikai kuasa Mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat (Muftis are not the people’s elected representatives) adalah tidak berperlembagaan.

“Sebagai contoh, di bawah Seksyen 35 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga diperuntukkan kuasa untuk melarang penggunaan apa-apa loji atau bahan yang pada pendapatnya mungkin akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang semasa bekerja,” katanya.

Beliau menambah, kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu seperti mufti dan Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh akta mengikut bidang kepakaran masing-masing dan pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang, bukannya secara pentadbiran semata-mata.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.

“Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh mufti kerana mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat tentang hukum syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 33 Akta 505 (Fasal 4 RUU Mufti),” katanya.

Tambahnya, selain itu perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Malah tegas beliau, sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu dan fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas