PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bakal menganjurkan Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 pada 12 hingga 18 Oktober ini di Studio Ho Ah Loke, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Mensasarkan khusus kepada ahli-ahli FDAM yang merupakan pengarah amatur, inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan latihan dan bimbingan kepada para pengarah muda dalam industri perfileman Malaysia.
Melalui bengkel ini, para peserta akan menerima bimbingan intensif daripada pengarah-pengarah filem berpengalaman yang akan berkongsi pengetahuan mereka tentang teknik pengarahan, pengurusan set dan pembikinan filem yang berkualiti tinggi.
Para peserta juga akan diberi peluang untuk melaksanakan projek mini yang boleh dimasukkan dalam portfolio mereka, serta mendapat maklum balas langsung daripada tenaga pengajar.
Menurut Presiden FDAM, Datuk Afdlin Shauki, program ini boleh dimanfaatkan oleh pengarah muda apabila berpeluang menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman.
“Kami di FDAM percaya bahawa setiap pengarah muda memiliki potensi besar yang menanti untuk dicungkil dan diasah.
“Program Inkubator Pengarah Muda ini adalah platform yang kami sediakan untuk membantu mereka merealisasikan impian mereka,” katanya.
Apa yang menarik, program ini bukan sekadar tentang pengarahan, malah menekankan pelbagai aspek lain dalam menjadi pengarah yang berwibawa.
“Melalui bimbingan daripada pengarah-pengarah berpengalaman, kami berharap dapat mempersiapkan peserta dengan ilmu, teknik dan keyakinan yang diperlukan untuk berjaya dalam industri perfileman.
“Ini bukan sekadar tentang belajar teknik pengarahan, tetapi juga bagaimana membina semangat, disiplin dan kesediaan untuk meneroka kreativiti tanpa batas.
“Saya percaya, dengan dedikasi dan komitmen yang betul, pengarah-pengarah muda yang menyertai program ini akan mampu mengubah industri filem tempatan dan membawa perspektif baharu ke layar perak.
“Masa depan perfileman Malaysia berada di tangan mereka. Kami di FDAM bersedia untuk membimbing dan menyokong perjalanan mereka,” tambahnya lagi.
Selain bimbingan teknikal, program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk membina jaringan dalam industri, termasuk bertemu dengan pengarah-pengarah dan penerbit yang berpengaruh.
Ini sekaligus membuka peluang untuk kolaborasi masa depan dan memberikan laluan kepada kerjaya yang lebih cerah dalam industri perfileman.
FDAM mengalu-alukan ahli-ahli pengarah amatur FDAM untuk menyertai bengkel ini dan memanfaatkan peluang eksklusif ini.
Pendaftaran kini dibuka dan tempat adalah terhad untuk 30 orang sahaja. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan proses pendaftaran, sila hubungi Sekretariat FDAM di [email protected] atau di +6011-1896 4007 – WILAYAHKU