Berita

Rasuah penguat kuasa lindung seludup diesel, Datuk antara ditahan

- Diterbit 8 Oktober 2024 5:26 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai menyeleweng diesel bersubsidi.

“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

“Namun mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa,” katanya.

Sumber memberitahu, salah seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan sekitar pukul 11.20 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas