PELAKON Emma Maembong mendedahkan dia sudah bercerai dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar secara baik.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail sudah tamat menjalani tempoh idah dan dia memilih pendekatan tidak menghebohkan berita perceraiannya selama ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah.
“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.
Emma juga menjelaskan dia lebih selesa untuk berdiam diri dan tidak menghebohkan kisah perceraian mereka.
“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,”katanya lagi.
Emma juga meluahkan rasa syukur kerana hubungannya dengan bekas suami masih baik dan mahu membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – WILAYAHKU