KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan seramai enam orang daripada satu keluarga rakyat Malaysia telah selamat dibawa pulang dari Lubnan susulan keadaan yang semakin meruncing di negara itu.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Menurut Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Wisma Putra, seramai enam orang lagi dijadualkan tiba di Malaysia pada malam ini.
“Ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang berjaya dievakuasi keluar dari Lubnan dalam tempoh dua hari yang lalu seramai 17 orang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, walaupun keadaan semakin mencabar di Lubnan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berjaya mengatur penerbangan pulang ke Malaysia bagi semua baki rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut.
“Mereka dijangka tiba di Malaysia secara berperingkat pada hari Isnin dan Selasa minggu ini,” katanya.
Terdahulu Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan serangan Israel di negara itu mengorbankan lebih 2,000 orang.
Memetik laporan Al-Jazeera, jumlah mangsa yang maut itu termasuk 261 wanita dan 127 kanak-kanak. – WILAYAHKU