Fokus

Jauhi episod dosa zina

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Oktober 2024 5:45 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

GENERASI muda wajar menyedari bahawa perbuatan zina akan meruntuhkan sesebuah tamadun walau semaju mana pun tamadun itu.

Iman dan ilmu adalah benteng kepada umat, justeru itu, generasi muda mesti membina dan memupuk iman serta ilmu dalam membina jati diri bagi menguatkan rohani dan jasmani khususnya dalam mendepani cabaran masa kini yang menggila.

Menurut Ketua Unit Pengurusan Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid, terjebak ke lembah ketelanjuran atau zina hanya akan membunuh masa depan generasi muda jika ia tidak dicegah dari awal.

“Kembali kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah adalah ubat paling mujarab dalam merawat penyakit sosial ini,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Memahami lumrah manusia untuk bercinta, Zulkhairi berkata jatuh cinta dan bercinta itu tidak salah namun cara pasangan tersebut itu yang membuatkan mereka terjerumus ke lembah zina atau sebaliknya.

“Sebagai contoh dahulu apabila Saidatina Khadijah jatuh cinta lalu dikirim orang untuk menyatakan rasa hati kepada Nabi Muhammad SAW. Namun apa yang berlaku kini adalah kebanyakan pasangan yang bercinta telah melanggar syariat di mana pergaulan yang bebas telah membuka jalan perzinaan sedangkan Allah telah memberi amaran akan jatuh ke lembah hina zina jika tidak mematuhinya tidak kira setebal mana iman kita.

“Firman Allah dalam Surah Al-Isra ayat 32: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

“Sabda Nabi Muhammad SAW maksudnya: Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan. Riwayat Al-Tirmizi
(2165),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zulkhairi berkata terlalu banyak keburukan yang timbul akibat perbuatan zina sama ada terhadap individu, masyarakat mahupun sesebuah institusi.

“Zina akan membawa pelbagai kerosakan dari seorang individu hinggalah dalam kehidupan masyarakat dan negara. Kita telah melihat bagaimana masyarakat barat yang sedang melalui keparahan dalam institusi masyarakat hingga dilihat terkebil-kebil mencari penyelesaian dan munculnya pelbagai penyakit akibat daripada budaya zina yang merebak dan berakar dalam masyarakat mereka,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sebagai hamba walau apa pun dosa yang dilakukan maka taubat adalah jalan wajib bagi setiap pendosa.

“Jika sudah terlanjur maka hendaklah bertaubat dan segera mencari jalan agar tidak lagi mengulangi episod dosa tersebut. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang sentiasa mengampuni dosa.

“Firman Allah lagi maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Surah al-Nisa’ (48)

“Para ulama bersepakat bahawa hukuman ke atas penzina yang sudah bertaubat gugur selagi mana perbuatan tersebut tidak diadukan kepada hakim. Justeru, perbuatan yang lalu itu termasuk dalam perkara yang disembunyikan aibnya oleh Allah SWT dan ini menunjukkan bahawa Allah masih memberinya peluang untuk bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas