Berita

Festival Realiti Terimbuh KL: Mural bernyawa melalui AR

Pengunjung berpeluang mencuba ARtworks menerusi telefon bimbit
- Diterbit 4 Oktober 2024 4:04 PM MYT

PUSAT Bandar Kuala Lumpur kini dihiasi dengan lapisan-lapisan interaktif yang berwarna-warni bersempena Festival Realiti Terimbuh Kuala Lumpur Augmented Reality (AR) Fest KL.

Ia sekali gus mengubah 10 lokasi terpilih di Kuala Lumpur menjadi taman permainan digital yang lebih bertenaga menerusi lebih 30 pengaktifan teknologi AR.

Festival kali ini mengetengahkan empat elemen yang cukup menarik antaranya menampilkan mural ‘bernyawa’ dan karya seni halus, arca digital monumental serta penceritaan sejarah secara interaktif daripada kecerdasan buatan (AI).

AR Fest KL dalam satu kenyataan berkata festival tersebut akan membawa penonton menerokai bandar menerusi lensa baharu dengan menggabungkan masa lalu, masa kini dan masa depan.

Mengulas lanjut, katanya empat program teras AR FEST KL iaitu StreetARt; Arca; ARtworks dan CheritAR akan menjadi lebih bermakna apabila merentasi beberapa mercu tanda paling terkenal di Kuala Lumpur, bermula dari Balai Seni Lukis Negara; Muzium Tekstil Negara; Bangunan Sultan Abdul Samad dan Air Pancur Victoria sehingga ke Jalan Sultan, Lorong Panggung, Jalan Petaling dan Jalan Tun H.S Lee.

“StreetARt menyeru rakyat Malaysia untuk menyelami semula bandar ini dan mencipta naratif bandar baharu dengan gabungan mural dalam lukisan kanvas interaktif melalui teknologi AR. Karya menarik pelukis mural seperti Cloakwork, Co2, JimmyGummy, Kenji Chai & Quiccs, Norman Khek, Wan Jepah dan ramai lagi kini boleh diterjemah semula melalui teknologi AR, membuka kisah yang lebih mendalam dan bertenaga serta mempunyai elemen digital yang menyeronokkan,” ujarnya.

Tambahnya, penonton turut dijemput untuk menyelami gabungan seni dan teknologi yang sangat menyerlah, di mana setiap arca AR adalah cerminan semangat kepelbagaian budaya dan warisan Malaysia dengan semuanya berlatarbelakangkan bangunan The Starhill yang cukup meriah.

“Teknologi AR yang berfungsi di sebalik StreetARt dan ARca dicipta artis digital profesional, ahli teknologi kreatif, pensyarah dan pelajar dari universiti tempatan. Pencipta dipilih melalui panggilan terbuka yang diadakan pada Julai 2024 dan kreativiti serta kecemerlangan teknikal mereka akan diberi penghormatan pada majlis anugerah yang berlangsung pada penghujung November 2024,” ujarnya.

Jelasnya lagi, antara pameran yang menarik bagi festival yang julung kali diadakan ini adalah ARtworks, di mana pertemuan tradisi dan teknologi.

“Melalui integrasi inovasi, lima karya seni halus ikonik iaitu ‘Pago-Pago’ (Abdul Latiff Mohidin); ‘Malam di Langkawi’ (A.J. Rahman); ‘Pandangan Kamera Kumpulan Kanak-kanak Sekolah Ketawa’ (Kok Yew Puah); ‘Malaysian Life’ (Chuah Thean Teng) dan ‘Enrique de Malacca’ (Ahmad Fuad Osman), dilengkapi dengan elemen interaktif bagi menawarkan penonton pengalaman terbaik demi menghargai dan berhubung dengan intipati semua karya agung ini.

“Selain itu, menerusi program CheritAR pula adalah untuk membentuk semula bagaimana naratif Kuala Lumpur yang kaya ini diterokai melalui ahli sejarah avatar berkuasa AI.

“Terletak di tiga mercu tanda bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Tekstil Negara dan Air Pancut Victoria, pelawat dapat menyelami kisah masa lalu tentang bandar yang menawan melalui penceritaan animasi dan teknologi interaktif serta mengubah mereka yang berjalan kaki melihat kawasan bersejarah Dataran Merdeka sebagai perjalanan menarik,” jelasnya ia turut disokong oleh Program Geran Kuala Lumpur Kreatif Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan persimpangan sejarah, budaya dan inovasi di seluruh bandar.

Terdahulu, AR Fest KL telah diadakan di 10 lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur bermula 30 Ogos sehingga 30 November 2024 dan dianjurkan bersama EDT, Studio Behind 90 dan Evertreasure.

Ia turut dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik termasuk DBKL, Think City, Filamen, GMBB, IMMERSE KL oleh MDEC, Inworld, KLIF, Festival Kreatif KL, Kwai Chai Hong, Balai Seni Lukis Negara, REXKL, The Starhill dan RUBIX Communications.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://arfestkl.com/ atau ikuti Instagram @arfestkl. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas