AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM837.89 juta untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024.
Ia akan memanfaatkan 650,487 pemegang unit yang kini memiliki 17.64 bilion unit.
Menurut ASNB yang juga syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), agihan pendapatan 4.75 sen seunit itu mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank sebanyak 2.69 peratus pada 206 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 24 September 2024.
“Pendapatan ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen, serta sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Tahun ini ASM 3 telah merekodkan RM820.32 juta pendapatan bersih terealisasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
ASNB memaklumkan, dana tersebut juga telah mengekalkan strategi kepelbagaiannya, mengambil manfaat daripada peningkatan keyakinan pasaran ekuiti tempatan dan trend positif dalam pasaran global yang dipacu oleh kemajuan teknologi.
Katanya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.
“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2024,” katanya.
Sementara itu, urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 September 2024.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB,
atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 Oktober 2024. – WILAYAHKU