TANGGAL 20 September 1998 menjadi tarikh keramat buat pejuang reformasi kerana ketika itu tercetusnya detik kebangkitan rakyat memperjuangkan keadilan.
Kini setelah 26 tahun‚ Jumaat lalu diadakan Himpunan Keadilan Suara Rakyat‚ Suara Keramat ‘Dari Reformasi ke Malaysia MADANI’ bagi mengimbau segala pahit maung yang dilalui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama keluarga dan penyokongnya sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.
Selain menceritakan perjuangan Anwar‚ orang ramai juga diberi peluang untuk menyatakan hasrat‚ aspirasi dan cita-cita mereka mengenai pembangunan negara kepada Perdana Menteri.
Pada acara kemuncak malam itu‚ Anwar turut menyampaikan pidato bertajuk ‘Reformasi dan Masa Depan Malaysia’.
Himpunan yang berjaya menarik 20‚000 orang itu diadakan di Axiata Arena‚ Bukit Jalil‚ Kuala Lumpur bermula pada pukul 6 petang sehingga 11 malam.
Terdahulu‚ antara pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir‚ isteri presiden‚ Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR‚ Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Agung PKR‚ Fuziah Salleh; Ketua Penerangan‚ Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Subang‚ Wong Chen. – WILAYAHKU
Lensa: