Berita

Serangan udara zionis: Rakyat Malaysia digesa buat persiapan tinggalkan Lubnan

- Diterbit 25 September 2024 11:10 PM MYT

RAKYAT Malaysia di Lubnan digesa membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela susulan serangan udara oleh rejim zionis baru-baru ini.

Menurut Wisma Putra, warga Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan kembali stabil.

Ekoran itu katanya, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

“Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim zionis di Lubnan yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

“Serangan itu telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra menambah, tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim zionis memperluas operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima.

“Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya.

Wisma Putra berpendapat, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.

“Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau itu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas