SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diminta memperluaskan lagi siasatan dan carian bagi mengenal pasti mana-mana pihak lain yang mungkin mencuba menjual dadah di platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata demikian selepas memaklumkan satu akaun di aplikasi TikTok yang didakwa menjual dadah telah diturunkan dan tidak boleh diakses.
“Saya telah dimaklumkan mengenai aduan di muatnaik laman X semalam mengenai jualan dadah dalam aplikasi TikTok.
“Carian pagi tadi telah menunjukkan TikTok telah ambil tindakan untuk menurunkan akaun tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi.
Sementara itu, Fahmi berkata satu laporan polis telah dibuat oleh SKMM dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara itu.
Beliau berkata pihak SKMM akan menghubungi pihak TikTok untuk mendapatkan penjelasan susulan mengesan akaun di media sosial itu yang didakwa menjual dadah.
Terdahulu, seorang lelaki mendakwa terdapat individu yang menjual gula-gula berbentuk ‘lolipop’ dipercayai mengandungi dadah, di TikTok.
Seorang lelaki yang menggunakan nama Daddy rah menerusi satu perkongsian video mendakwa, ibu bapa di Thailand sudah pun diberikan amaran tentang bahaya gula-gula berkenaan.
Dalam masa sama, lelaki itu turut menyelar pengendali akaun media sosial berkenaan yang sering menyekat kandungan bermanfaat, namun membenarkan perkongsian sebaliknya. – WILAYAHKU