KEHADIRAN pasukan Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) ketika mesyuarat di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Italy Battalion menjadi punca dua kenderaan pasukan itu diserang orang awam di Lubnan, kelmarin.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Wilayahku merujuk kepada insiden serangan melibatkan pasukan Malaysia dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
Kejadian berlaku apabila kedua-dua buah kenderaan dinaiki tiga orang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.
“Pegawai dan anggota terlibat hadir mesyuarat di KTJ Italy Battalion. KTJ ini sering diserang, ditahan dan dirampas peralatan oleh anggota awam yang tidak suka akan kehadiran PBB dari Itali dan Perancis.
“Orang awam sering menyerang pasukan PBB Itali dan Perancis di KTJ tersebut dengan membaling batu dan seterusnya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mohamed Khaled berkata, bagi kes MALBATT, kesemua mereka dilepaskan selepas memperkenalkan diri datang dari Malaysia.
“Ini kali pertama kita hadir mesyuarat di KTJ Itali dan ini kejadian pertama yang berlaku kepada tim Lubnan kita,” katanya.
Terdahulu Wilayahku melaporkan, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan MALBATT.
Hampir 30 orang awam kemudiannya membaling batu serta memancitkan kesemua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam.
Lebanon Armed Forces (LAF) telah tiba di lokasi dan seterusnya berjaya mengawal keadaan.
Kejadian berlaku kelmarin sekitar pukul 11.32 malam waktu Malaysia (5.32 petang waktu Lubnan). – WILAYAHKU