PROGRAM Inisiatif Pendapatan Rakyat – Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) yang dikelolakan oleh Kementerian Ekonomi kini sedang memainkan peranan penting dalam usaha membasmi miskin tegar di Labuan.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Jaludin Janteng, melalui strategi serampang dua mata, IPR-BMT berfokus untuk membantu golongan miskin tegar menambah pendapatan sambil menyelesaikan masalah ekonomi harian mereka.
“Inisiatif ini merangkumi sektor perniagaan makanan, pertanian dan operator perkhidmatan. Ia diharap dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan sederhana di Labuan,” ujarnya.
Beliau yang juga Penyelidik Inisiatif Pendapatan Rakyat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berkata menerusi projek-projek seperti Basmi Miskin Tegar anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan kerjasama dengan Bank Rakyat dan UMSKAL, Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 adalah salah satu contoh inisiatif yang telah membantu ramai golongan asnaf untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Program tersebut dilihat bukan sahaja menyediakan modal, tetapi turut membekalkan latihan keusahawanan, pemasaran digital, membimbing peserta dalam aspek pengurusan perniagaan.
“Inisiatif ini telah berjaya melahirkan usahawan asnaf berdaya saing dan mampu berdikari melalui pelbagai jenis perniagaan,” jelasnya.
Di Labuan, inisiatif seperti Program Usaha Jaya Insan (Upaya@PUJI) juga telah diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Perbadanan Labuan dengan kerjasama Institut Agro Usahawan (iGROW) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
“Program ini berperanan sebagai platform membantu golongan miskin tegar melalui latihan keusahawanan dan sokongan perniagaan.
“Salah satu kejayaan besar program ini ialah peningkatan bilangan usahawan kecil yang mampu berdikari selepas menjalani latihan intensif serta mendapat sokongan dari segi pemasaran digital dan pengurusan kewangan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jaludin menekankan bahawa inisiatif Lestari Niaga yang memperkenalkan gerai-gerai kecil di Labuan turut memainkan peranan penting dalam membantu peniaga kecil yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.
Setakat ini, 13 unit gerai telah dibina dan sembilan daripadanya telah diduduki oleh peniaga sedia ada.
Menurut beliau, baki empat unit akan dibuka kepada peniaga-peniaga baru, terutamanya mereka yang telah menyertai program IPR-BMT.
“Gerai-gerai ini yang terletak di Taman Mutiara Sungai Bedaun dilengkapi kemudahan moden dan papan tanda yang seragam bagi menarik perhatian pengunjung, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil,” katanya.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Labuan, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi usahawan kecil.
Dengan fokus kepada keusahawanan dan inovasi sosial, Labuan terus memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar.
Kepakaran dan kerjasama pelbagai agensi juga dijangka akan memperkukuh lagi usaha-usaha ini di masa hadapan.
Jaludin menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan melalui keusahawanan inovatif perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.
“Kami berharap program-program ini memberi impak positif dalam jangka panjang dan tiada golongan yang tercicir,” katanya.