Berita

Dua kenderaan MALBATT diserang orang awam di Lubnan

- Diterbit 20 September 2024 10:02 AM MYT

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan dua kenderaan pasukan Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) terbabit dalam insiden serangan orang awam di negara itu, kelmarin.

Menurut ATM, insiden berlaku apabila kedua-dua buah kenderaan dinaiki tiga orang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.

Katanya, kejadian berlaku kelmarin sekitar pukul 11.32 malam waktu Malaysia (5.32 petang waktu Lubnan).

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, telah berlaku kesesakan luar biasa. Ketika itu, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah.

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan MALBATT. Hampir 30 orang awam kemudiannya membaling batu serta memancitkan kesemua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ATM menambah, bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, ketua pergerakan telah mengarahkan kedua-dua kenderaan berhenti di tepi jalan yang selamat dan kekal berada di dalam kenderaan bagi menanti bantuan.

Katanya, Lebanon Armed Forces (LAF) telah tiba dilokasi dan seterusnya berjaya mengawal keadaan.

“Pihak LAF juga telah membantu mengkoordinasikan loader bagi membawa balik kenderaan serta anggota MALBATT ke Kem Marakah.

“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada jam 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 petang waktu Lubnan.

“Tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota MALBATT terbabit,” katanya.

Menurut ATM, walau bagaimanapun kedua-dua kenderaan telah mengalami beberapa kesan kerosakan.

“MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta agar untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas