Selebriti

Luntur nilai murni

- Diterbit 13 September 2024 5:06 PM MYT

KECANGGIHAN teknologi dan liputan meluas media sosial menjadi cabaran baharu yang terpaksa dilalui masyarakat hari ini. Jika digunakan secara baik, maka ia menjadi manfaat.

Namun apabila ada yang menyalahgunakannya, maka ia boleh menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah seperti penyebaran berita palsu, buli siber, medan fitnah dan sebagainya.

Golongan selebriti antara yang menjadi sasaran atau mangsa netizen akibat penyalahgunaan media sosial yang sepatutnya digunakan untuk keharmonian.

Kali ini Wilayahku turut menemu bual selebriti popular seperti Reen Rahim, Khai Bahar dan Syazwan Zulkifly yang turut berdepan perkara tersebut.

Fikir sebelum sebar dulu

PELAKON jelita Reen Rahim berharap masyarakat tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang belum sahih atau ternyata palsu.

Bagi Reen, setiap manusia diberikan akal fikiran untuk menilai sesuatu berita tersebut.

“Tidak dinafikan, masih ada rakyat Malaysia yang menyebarkan berita yang entah betul atau tidak. Ia menjadi lebih parah apabila berita itu sebenarnya palsu.

“Hal ini tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak. Isu penyebaran berita palsu ibarat barah dalam kalangan rakyat.

“Berita palsu akan selalu ada, agak sukar untuk kita elak. Disebabkan itu, kita yang berhadapan atau menerima berita tersebut, perlulah fikir dan menapisnya.

“Jadi janganlah mudah untuk percaya tajuk  sahaja. Kadang-kadang tajuk yang gempak boleh menimbulkan pelbagai andaian atau persepsi,” ujarnya.

Tambahnya, pembaca perlu belajar agar tidak menerima bulat-bulat berita yang boleh diragui.

“Berita palsu mungkin disebar atas faktor peribadi seperti untuk tujuan ingin menjatuhkan reputasi individu atau perniagaan.

“Sesetengah individu juga sengaja menyebarkan berita palsu untuk menarik trafik Internet bagi tujuan pendapatan daripada pengiklanan,” ujarnya.

Tambah Reen, setiap orang perlu menjalankan tanggungjawab sosial dengan melaporkan nama pelaku, tajuk berita, tarikh dan platform digunakan dalam penyebaran berita itu.

“Kempen kesedaran ini amat penting supaya orang ramai lebih cakna dalam berkongsi maklumat diterima,” ujarnya.

Bukan medan menghina

PENYANYI popular, Khai Bahar menegaskan bahawa media sosial bukan medan untuk saling berbalah sebaliknya perlu ada penerapan nilai murni seperti adab dan etika dalam kehidupan masyarakat hari ini yang semakin dilupakan.

“Perkara ini tidak harus dibiarkan kerana menjadi hasrat kerajaan membentuk Keluarga Malaysia penyayang mempunyai sifat berkasih-sayang, saling menghormati dan sebagainya.

“Namun, realitinya kita perlu hadapi situasi kurangnya adab dan etika murni dalam media sosial yang menjadi trend dalam kehidupan sekarang.

“Disebabkan kurang adab dan etika hidup bermasyarakat, wujud penghinaan terhadap sesama sendiri dalam kalangan mereka yang menyalahgunakan media sosial.

“Keadaan ini amat menyedihkan apabila media sosial dijadikan gelanggang menghina terhadap sesiapa yang tidak sehaluan dengannya,” katanya.

Menurut Khai Bahar, sepatutnya perlu ada rasa hormat sesama kita meskipun dalam media sosial.

“Jika semua orang sedar tanggungjawab dan adab masing-masing ketika berkomunikasi, tiada masalah akan berlaku dalam masyarakat. Sayangi orang lain untuk disayangi dan hormati orang lain untuk dihormati,”tambahnya.

Diam itu lebih baik

GOLONGAN selebriti antara mangsa yang tidak pernah terlepas daripada menjadi sasaran netizen apabila terdapat perkara tidak enak di mata mereka.

Pelakon Syazwan Zulkifly menyifatkan kehidupan selebriti hari ini seolah-olah sentiasa diawasi apabila sesetengah netizen suka menghentam sehingga meninggalkan kesan terhadap mental.

“Sudah menjadi adat dalam dunia artis, apa yang dilakukan menjadi perhatian, apatah lagi wujudnya media sosial.

“Apa yang tak sepatutnya berlaku, selebriti kerap dihentam jika ada sesuatu yang tidak kena di mata mereka. Tegur itu tak salah, tapi janganlah menghentam dengan perkataan kesat. Kita sesama manusia perlu ada adab. Artis dan pempengaruh pun manusia juga. Kami mempunyai keluarga yang turut tersakiti dengan kata-kata netizen,” katanya.

Menurut Syazwan, penguatkuasaan undang-undang antara langkah terbaik untuk mengawal sesetengah netizen yang menyalahgunakan media sosial.

“Kalau dulu buli siber tidak dianggap jenayah yang serius, bagaimanapun, isu ini terus mencuri perhatian ramai termasuk pihak berkuasa. Komenlah dengan matang dan berfikir sebelum  memberi sebarang pendapat kerana itu mencerminkan diri sebenar seseorang.

“Jika benda yang kita suka, beri komen yang positif. Namun kalau kita tak suka, lebih baik pilih untuk berdiam diri dan tidak perlu nak muat naik hantaran atau nak kutuk orang. Itu adalah langkah terbaik,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas