Berita

Bukan ikut telunjuk China

Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 10:00 AM MYT

PANAS di media sosial sepanjang minggu apabila segelintir mendakwa atas nama persahabatan baik dengan negara China, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim  memberi peluang kepada negara tersebut untuk meneroka telaga minyak milik Malaysia yang terletak di Laut China Selatan.

Tuduhan tidak masuk akal itu turut menyifatkan PM sebagai boneka yang hanya mengikut telunjuk China. Jangan terlalu cepat menuduh tanpa usul periksa kerana PM tegas mempertahankan hak dan kedaulatan Malaysia.

Buktinya, Anwar menegaskan Malaysia tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan yang berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan, biarpun wujud bantahan daripada China kononnya negara ini telah melepasi sempadan yang dibenarkan.

Malaysia akan terus meneroka kawasan minyak dan gas di Laut China Selatan walaupun China membantah kerana operasi tersebut dilakukan dalam perairan negara sendiri tanpa sebarang provokasi.

Malah, beliau terbuka untuk berbincang dengan China, namun penerokaan itu penting untuk kelangsungan ekonomi negara.

Bantahan China menyatakan Malaysia telah melanggar sempadannya, namun Malaysia berpegang kepada hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) mengikut undang-undang antarabangsa dan siasatan akan dijalankan mengenai kebocoran nota diplomatik Beijing.

“Mengenai kawasan tersebut yang dibantah oleh China, kita menegaskan ini adalah kawasan kita, tetapi kita terbuka untuk berbincang. Tetapi penerokaan minyak ini dalam kawasan perairan kita. Kita mungkin akan memberi respons kepada China menerangkan kedudukan kita, tetapi kita bukan melakukan tindakan provokasi.

“Kita perlu meneruskan penerokaan di perairan kita dan menjamin kelebihan kita, termasuk operasi mencari gali dalam kawasan kita sendiri. Beijing hantar nota bantahan kerana dia rasa itu kawasan dia. Tetapi kita kena teruskan operasi ini kerana ini adalah berkaitan kelangsungan ekonomi kita,” tegasnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan kebocoran nota diplomatik yang dihantar oleh Beijing kepada Malaysia, menyuarakan bantahan terhadap operasi syarikat Petronas di kawasan tersebut.

Nota yang disiarkan oleh media Filipina itu menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan telah memasuki sempadan perairan China.

Kenyataan Wisma Putra baru-baru ini juga menegaskan kebocoran maklumat itu akan disiasat secara rapi memandangkan ia mengandungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan China bertegas hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk EEZ seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam adalah di bawah kedaulatannya.

Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara, tetapi memberi hak kepada negara yang berkenaan untuk mengekstrak hasil bumi di dalam zon tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas