Berita

RMK13 akan dirangka seperti RMK1

Foto: BERNAMA
- Diterbit 5 September 2024 2:20 PM MYT

RANCANGAN Malaysia ke-13 (RMK13) akan dirangka dengan mengambil pendekatan yang sama seperti RMK Pertama, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata pendekatan itu diambil supaya dapat dirangka dengan lebih ringkas dan menyeluruh berasaskan ‘kanvas kosong’.

Menurutnya lagi, RMK13 akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun.

“Ini membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi radikal, berani dan transformatif yang akan memperkukuh asas ekonomi negara, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi besar rantau ASEAN,” katanya ketika berucap pada Persidangan Permulaan RMK13.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Rafizi berkata RMK13 dijangka akan siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan

Beliau berkata dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen pada Julai tahun depan selepas diluluskan oleh kerajaan.

“Tempoh masa diluluskan oleh kerajaan untuk dibawa ke Parlimen dalam tempoh dua bulan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas