Berita

Bahan mentah dari pembekal ada sijil halal

Gambar hiasan
- Diterbit 4 September 2024 5:59 PM MYT

DUA pengusaha makanan dan minuman (F&B) Johnny’s Restaurants serta Black Canyon Malaysia menjelaskan kesemua bahan mentah untuk menyediakan hidangan diperoleh dari pembekal memiliki sijil halal.

Menurut kenyataan bersama, mereka berkata tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman yang dihidangkan.

Pihak Pengurusan Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia turut menjelaskan pada masa ini Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia belum lagi ‘Disahkan Halal’ oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bagaimanapun, pihak pengurusan restoran Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa semua bahan makanan yang digunakan di restoran-restoran tersebut termasuk ayam, telur, daging dan bahan mentah lain diperoleh dari pembekal yang memiliki sijil halal.

“Salinan sijil-sijil ini dapat dirujuk di semua restoran kami, jika perlu,” katanya.

Semalam JAKIM memaklumkan lima restoran terkenal bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ia melibatkan restoran Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM, bagi menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

Sementara itu, pihak Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia berkata mereka memahami kepentingan pensijilan Halal kepada pelanggan dan sedang berusaha untuk mendapat pensijilan Halal daripada JAKIM untuk dapur berpusat dan pensijilan individu untuk semua cawangan mereka.

Pihak Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia juga berharap bahawa penjelasan yang dikemukakan akan menangani rasa bimbang semua pelanggan.

“Seperti biasa, pengutamaan diberi kepada perhidangan makanan Thai yang lazat, selamat dan asli bagi semua rakyat Malaysia dan pelanggan yang memberi kepercayaan kepada Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas