EDIAKAN payung sebelum hujan‚ demikian ungkapan yang sesuai menggambarkan usaha sepasang suami isteri yang menceburi bidang pertanian fertigasi sebagai mata pencarian selepas bersara.
Swen Bagang‚ 61‚ dan suaminya‚ Lu Boon Thart‚ 66‚ memulakan penanaman tersebut pada awal tahun 2017 di sekitar kediaman mereka di Simpang 25‚ Kampung Lajau‚ Labuan yang berkeluasan 0.2 ekar.
Namun bermula daripada minat akhirnya ia menjadi pendapatan bulanan untuk menyara kehidupan dalam usia emas mereka.
“Mulanya kami berdua hanya suka-suka sahaja dan masa itu kami bermula dengan menanam cili. Setelah beberapa bulan‚ cili yang kami tanam telah membuahkan hasil. Dari situlah mulanya kami semakin berminat dan serius untuk bertani.
“Pada masa yang sama‚ memandangkan suami saya akan menamatkan alam pekerjaan di sebuah syarikat swasta pada waktu itu‚ maka kami berdua merancang untuk menjadikan bidang pertanian ini sebagai sumber pendapatan‚” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Hanya berbekalkan modal sebanyak RM6‚000 untuk membeli peralatan sistem fertigasi seperti polibeg‚ paip dan pam air‚ kini dia dan suami mampu meraih pendapatan melebihi RM5‚000 sebulan.
Ujarnya‚ dia dan suami tidak menyangka bahawa tanaman fertigasi yang diusahakan itu membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Kami gembira dengan hasil pertanian ini kerana dapat memberikan kami sumber pendapatan bulanan selain sumber sayur-sayuran yang segar‚” ujarnya yang kini mengusahakan lima tanaman secara fertigasi iaitu timun‚ sawi‚ cili‚ kacang bendi dan terung.
Tambahnya‚ selama tujuh tahun menjalankan penanaman sayur secara fertigasi dia berjaya menghasilkan lebih 100 kilogram bagi setiap jenis tanaman sebulan.
Namun di sebalik itu‚ dia tidak menafikan banyak cabaran yang perlu dihadapi antaranya ketika keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan lebat yang menyebabkan struktur tanah kompos terhakis dan ditenggelami air.
“Penanaman secara fertigasi ini mudah sebenarnya kerana kita tidak perlu risau untuk menyiram tanaman secara manual selain pemberian baja yang lengkap diberikan dalam bentuk larutan yang disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.
“Namun cabarannya adalah seperti serangan serangga perosak antaranya lalat buah‚ ulat pokok dan hama yang sering menyerang tanaman. Saya hanya menggunakan bahan organik untuk mengelakkan tanaman daripada diserang oleh serangga selain mengekalkan keaslian hasil tanaman‚” ujarnya.
Ditanya tentang perancangan masa hadapan tanaman fertigasinya‚ Swen menyatakan keinginan untuk meluaskan tanamannya dan menjadi pengusaha yang berjaya.
“Perancangan untuk mengembangkan tanaman sememangnya ada‚ namun ia masih dalam perancangan kerana faktor usia yang semakin lanjut menyebabkan agak terbatas.
“Namun impian kami mahu melihat bidang pertanian fertigasi di Labuan dapat dikembangkan secara berterusan kerana saya berpandangan ia mampu dimajukan sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan.
“Saya harap masyarakat di pulau ini menceburi bidang pertanian secara kecil-kecilan dan menggunakan ruang halaman rumah yang ada dahulu‚” ujarnya. – WILAYAHKU