PELANTIKAN Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai wanita pertama menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu disifatkan sebagai satu sejarah baharu negara sekali gus meletakkan sentuhan penting dalam tadbir urus bandar raya Kuala Lumpur untuk masa hadapan.
Dengan pengalaman luas dalam perancangan bandar dan pembangunan mampan termasuk berperanan di peringkat dunia, Maimunah bakal membawa pendekatan berwawasan ke salah satu metropolis Asia Tenggara yang paling bertenaga. Beliau bakal mengemudinya untuk fasa pertumbuhan seterusnya dengan memfokuskan pada keterangkuman, inovasi dan daya tahan.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub, beliau menyifatkan Kuala Lumpur bertuah kerana Maimunah mempunyai pengalaman yang luas selain dikenali di peringkat antarabangsa untuk membangunkan bandar raya berkenaan menjelang Malaysia bakal menjadi Pengerusi Asean tahun 2025.
“Sebagai bekas Pengarah UN Habitat, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pastinya beliau akan menyusun semula kehidupan penduduk di Kuala Lumpur dengan persekitaran yang lestari. Dalam masa sama, beliau akan memastikan elemen perancangan bandar seimbang antara keperluan pembangunan yang pesat dengan kesejahteraan hidup masyarakat.
“Selain itu, beliau juga dijangka akan melakukan pembaharuan melibatkan operasi harian pegawai dan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selari dengan aspirasi kerajaan yang mementingkan tata kelola,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Tawfik berkata beliau menjangkakan akan berlaku perubahan yang signifikan terhadap beberapa isu yang membebani warga kota termasuklah isu kesesakan lalu lintas dan juga masalah perumahan yang memerlukan satu formula baharu menerusi kebijaksanaan dan pengalaman beliau sebelum ini.
“Bukan sekadar mengehadkan kenderaan berat mengikut waktu tertentu untuk masuk ke Kuala Lumpur atau penggunaan kenderaan awam, tetapi pendekatan lain seperti kebenaran masuk ke bandar raya ini berdasarkan had usia kenderaan. Selain itu, menyediakan alternatif yang lebih banyak seperti kenderaan percuma seperti coaster bus, kereta khas yang bergerak dalam lingkungan kota bagi mengurangkan kadar masuk kenderaan dalam kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata isu seperti masalah perumahan dan pengurusan sisa juga boleh ditangani oleh beliau dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar Lembah Klang seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang untuk meredakan tekanan beban tanggungjawab yang perlu dihadapi oleh DBKL.
“Bagi saya perlu diwujudkan Greater Klang Valley Administration yang diterajui oleh Datuk Seri Maimunah supaya beberapa PBT yang berada di bawah pentadbiran beliau dapat bersama-sama memikul tanggungjawab berat kerana wilayah sekitar Lembah Klang turut menerima tempias dan pembangunan dan limpahan kemakmuran,” katanya.
Fokus dasar baharu
Sebagai Datuk Bandar, beliau perlu melihat kesukaran kepada individu yang baru memulakan perniagaan di ibu kota dalam aspek pelesenan, tapak perniagaan yang strategik dan program pemutihan peniaga di sekitar Kuala Lumpur.
“Beliau perlu meneruskan tindakan tegas membatalkan lesen perniagaan milik warganegara yang menyerahkan perniagaan mereka kepada warga asing di Kuala Lumpur.
“Di samping itu beliau perlu berani memperkenalkan dasar dan syarat baharu pembukaan pasar raya besar di KL dengan mengenakan kuota untuk sewaan kepada syarikat Bumiputera sebanyak 30 peratus untuk mengangkat posisi ekonomi mereka yang tertinggal selama ini akibat dianaktirikan oleh konglomerat besar disebabkan oleh status perniagaan Bumiputera adalah syarikat tempatan,” katanya.
Tambahnya, fokus dasar baharu tersebut ialah mengenai kuota dan kadar sewaan yang lebih rasional untuk syarikat tempatan.
Menurut Mohamad Tawfik, momen beliau mengetuai PBT di Pulau Pinang merupakan pengalaman berharga kepada beliau untuk mengendalikan isu-isu berkaitan rakyat dan tekanan politik digunakan ketika berkhidmat di Kuala Lumpur.
“Landskap politik Pulau Pinang dan Kuala Lumpur adalah sama, malah keadaan ini lebih memudahkan tugas beliau untuk menerajui pentadbiran ibu kota.
“Pulau Pinang terkenal di seluruh dunia malah menjadi tumpuan pelancong warga asing, syarikat dan pelaburan asing yang banyak. Justeru Pulau Pinang boleh dijadikan negeri atau bandar kembar kepada Kuala Lumpur untuk memastikan model kemajuan yang sesuai di Pulau Pinang dapat dipinjam untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki ketika berkhidmat di badan dunia itu boleh dijadikan panduan untuk menangani isu perumahan dan gentrifikasi bandar.
“Pengalaman dan keberanian beliau amat diperlukan untuk memastikan halangan yang diklasifikasikan sebagai taboo dapat dihapuskan.
“Misalnya tanah-tanah kerajaan yang telah terbiar atau kompleks perniagaan yang telah ditinggal lama dapat diambil alih untuk memberi laluan kepada projek perumahan rakyat berpendapatan rendah,” katanya.
Ujar beliau, hubungan baik antara Maimunah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilihat dapat merobohkan halangan yang dinyatakan. melalui penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada untuk memastikan perancangan dan matlamat menjadi realiti.
Dalam pada itu, Mohamad Tawfik berkata dakwaan rasuah sehingga mengheret pegawai kanan DBKL ke mahkamah merupakan satu cabaran kepada Maimunah berikutan stigma masyarakat terhadap pentadbir bandar raya itu menebal dengan perkembangan terbaharu itu.
“Cabaran besar ialah mengubah sikap penjawat awam di bawah setiap agensi berkaitan DBKL dan pentadbiran Datuk Bandar. Kedua ialah membanteras rasuah yang selama ini menghalang pelaksanaan undang-undang serta pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Datuk Bandar.
“Bagi saya beliau perlu merombak jabatan barisan hadapan yang sering berinteraksi dengan masyarakat di kaunter, kelulusan, penguatkuasaan dan kewangan dengan melaksanakan job rotation setiap dua tahun bagi memastikan tiada big brother wujud dalam setiap struktur agensi berkaitan di bawah pentadbiran beliau,” katanya. – WILAYAHKU