WARGA kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberi jaminan bahawa ibu kota negara merupakan bandar yang selamat.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif.
Beliau menafikan dakwaan Kuala Lumpur adalah lokasi tidak selamat dan berpotensi berlaku lubang benam seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya lagi, Jalan Masjid India turut diberi jaminan terkawal.
“Situasi sekitar Jalan Masjid India khasnya Kuala Lumpur amnya adalah terkawal dan warga ibu kota boleh meneruskan rutin harian seperti biasa.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur sudah lama dibina dan dalam tempoh itu ia adalah selamat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jika ada pihak yang mengatakan Kuala Lumpur tidak selamat, ia perlu disertakan bersama bukti dan kajian terperinci berhubung dakwaan berkenaan.
“Oleh itu kalau mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti-bukti dan kajian-kajian yang terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan tular di media sosial Facebook berhubung tempat yang paling tidak selamat di Malaysia adalah Kuala Lumpur, yang berpotensi berlaku lubang benam pada bila-bila masa.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata sehubungan itu pihaknya telah menubuhkan pasukan khas termasuk bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kepada aspek keselamatan di ibu negara.
Jelas Maimunah, pasukan itu akan melibatkan pakar daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.
“DBKL telah mengaktifkan task force bersama pakar-pakar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Mineral dan Geosains.
“Apa kita cuba dapatkan adalah maklumat daripada JMG adakah di sini (Masjid India) adalah tanah biasa.
“Walau bagaimanapun, saya telah sediakan satu task force bersama rakan-rakan lain JKR, JMG untuk kita menyemak lagi menyiasat lagi kawasan ini,” ujarnya.
Baru-baru ini media melaporkan, pada 23 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus yang berlaku berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Lebih mengerikan, dalam insiden tersebut, seorang wanita warganegara India, berusia 48 tahun, dikenali sebagai Vijayaletchumy disyaki terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di lokasi berkenaan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang bersiar-siar di kawasan terbabit bersama keluarganya sebelum terjadi tanah jerlus dan menyebabkannya terjatuh ke dalam lubang terbabit.
Laporan kejadian itu diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – WILAYAHKU