Berita

Prasarana sedang tangani sistem dalaman digodam

- Diterbit 26 Ogos 2024 4:31 PM MYT

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan ciapan media sosial berkaitan sebahagian daripada sistem dalamannya telah diserang perisian ransomware.

Menurut Prasarana, pasukan keselamatan siber pihaknya telah mengenal pasti dan sedang menangani insiden yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke beberapa sistem mereka.

“Kami sedang mengurus dan menangani situasi ini. Kami juga sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi.

PENGGODAM merancang untuk mengeluarkan data yang dicuri dalam masa tujuh hari

“Keutamaan kami adalah pada keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pemantau ancaman siber Falcon Feeds melaporkan bahawa perisian RansomHub telah digunakan dalam serangan itu yang berpotensi menjejaskan 316GB data Prasarana daripada laman sesawang prasarana.com.my.

Falcon Feeds mendedahkan penyerang merancang untuk mengeluarkan data yang dicuri dalam masa tujuh hari.

Dalam pada itu, Prasarana memberi jaminan pihaknya akan memberi keutamaan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kami ingin mengesahkan bahawa insiden ini tidak memberi gangguan terhadap operasi harian kami.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia untuk memastikan semua langkah telah diambil. Usaha kerjasama ini bertujuan untuk memberikan respons yang menyeluruh dan melindungi sistem kami.

“Kami akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa. Tumpuan kami kekal pada penyelesaian masalah dengan segera di samping memastikan perkhidmatan kami terus memenuhi keperluan orang awam,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas