Labuan

Rezeki bela burung walit

- Diterbit 23 Ogos 2024 8:15 PM MYT

HASRAT murni kerajaan untuk memacu sektor pelancongan di Pulau Bebas Cukai khususnya sektor ternakan mampu menarik pelancong luar untuk mengunjungi Labuan.

Seperti yang diketahui‚ Pulau Labuan amat terkenal dengan produk pelancongan berteraskan 5S (Sand Sunrise Seafood Shopping Sport) selain ia juga mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang begitu indah untuk diterokai.

Namun‚ terdapat beberapa produk pelancongan berteraskan ternakan di pulau itu yang jarang diperkatakan tetapi dalam masa yang sama berpotensi menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi.

Produk atau lokasi yang dimaksudkan adalah perusahaan ternakan rumah burung walit yang terletak di Kampung Tanjung Aru yang diusahakan oleh Abdul Rahman Jinin‚ 68‚ dan isteri‚ Ramlah Hamid‚ 63.

Berkongsi pengalaman kepada Wilayahku‚ Ramlah berkata mereka mula mengusahakan rumah burung walit pada tahun 2015 secara kecil-kecilan selepas mengikuti pelbagai kursus mengenai ternakan tersebut.

Ujarnya‚ pada mulanya dia dan suami hanya membeli produk itu untuk tujuan kesihatan sahaja namun tercetus idea untuk menceburi bidang itu kerana ketika itu tidak ramai yang mengusahakannya.

“Awalnya kami berdua hanya membeli produk berasaskan sarang burung walit ini untuk kegunaan peribadi dan kesihatan tetapi apabila telah mengikuti kursus‚ kami yakin ia boleh pergi jauh selain dijadikan sumber pendapatan.

“Jika kita lihat‚ perusahaan ini sejak dahulu lagi diterajui oleh bangsa Cina sahaja dan kami berhasrat untuk menjadi salah satu pengusaha Melayu yang berjaya mengembangkan pasaran sarang burung walit di pulau ini.

“Maka pada awal tahun 2015 kami sudah mula membangunkan sebuah rumah burung dengan berkeluasan sederhana‚” ujarnya kos perbelanjaan awal menelan belanja hampir RM70‚000.

Bercerita lanjut‚ Ramlah berkata pada awalnya‚ mereka memerlukan tempoh lebih kurang setahun bagi memenuhkan burung-burung walit untuk bersarang di rumah tersebut.

“Walaupun ia mengambil masa yang panjang namun amat berbaloi untuk menunggu dengan sabar demi mendapatkan sarang burung yang berkualiti tinggi.

“Sebenarnya‚ ia tidak perlu untuk mengambil tempoh seperti itu namun kami mengambil keputusan untuk membiarkan dahulu agar burung-burung walit itu selesa untuk bersarang di rumah tersebut.

“Disebabkan kali pertama‚ jadi kami suka untuk tunggu lebih lama dan lihat hasilnya kami turut dapati sarang itu membawa keselesaan kepada burung walit.

“Alhamdulillah‚ setelah hampir 11 tahun berkecimpung dalam ternakan ini kami mampu meraih pendapatan sampingan hampir RM3‚000 bagi tempoh tiga bulan‚” ujarnya.

Jelasnya lagi‚ hasil pendapatan yang diperolehi dalam tempoh dua ke tiga bulan disebabkan proses pengumpulan dan pembersihan sarang burung tersebut yang mengambil masa lama.

“Dalam perusahaan ini‚ perkara yang menjadi cabaran utamanya adalah proses pengumpulan dan pembersihan setiap sarang yang mengambil masa agak lama kerana perlu dilakukan secara teliti demi menjaga kualiti sarang burung.

“Untuk pembersihan satu sarang sahaja saya memerlukan dua hingga ke tiga hari dan setiap bulan saya hanya dapat mengumpulkan lebih kurang 2.5 gram sahaja.

“Bayangkan untuk mendapatkan satu kilogram sahaja mengambil masa berbulan-bulan kerana kerja-kerja itu hanya dilakukan oleh kami berdua sahaja.

“Disebabkan itu‚ kami mengalami kekangan bagi memenuhi permintaan selain hanya memfokuskan penjualan air minuman sekitar Labuan sahaja‚” ujarnya lagi.

Air kesihatan

Berkongsi lanjut mengenai produknya‚ Abdul Rahman berkata mereka menghasilkan produk sarang burung walit berasaskan air minuman kesihatan yang terbahagi kepada lima perisa iaitu asli‚ pandan‚ serai‚ halia dan pudina.

“Produk minuman yang kami hasilkan mengandungi bahan-bahan asli tanpa sebarang bahan pewarna mahupun bahan pengawet. Variasi perisa ini dihasilkan sendiri untuk tujuan menarik pelanggan.

“Setakat ini‚ kami berjaya memasarkan lebih 100 botol dalam masa sebulan di sekitar pulau ini. Buat masa ini kami fokus penjualan di majlis dan pameran yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta sahaja.

“Saya tidak dapat memasuki pasaran besar di kedai mahupun pasar raya kerana ketika ini kami masih belum dapat mengatasi kekangan dari segi produksi‚” ujarnya.

Sejak menjalankan perusahaan rumah burung walit berhampiran kediamannya‚ mereka bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung bahkan pelbagai pihak termasuklah pengusaha dan agensi kerajaan.

“Walaupun kami menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecil namun rumah kami sering dikunjungi oleh orang ramai yang datang untuk mendapatkan produk air minuman serta pada masa sama mereka mahu melihat burung walit membina sarang itu sendiri.

“Walau bagaimanapun kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung kerana warga sekitar ini perlu menceburi bidang yang amat berpotensi pergi jauh.

“Di Labuan‚ kami adalah satu-satunya pengusaha sarang burung walit dan bagi kami perusahaan ini harus lebih ramai lagi khususnya warga di pulau ini untuk menceburi bidang ini kerana ia dapat mendatangkan hasil pendapatan yang memberangsangkan.

“Dalam masa yang sama‚ saya juga berharap agar pihak yang berkaitan dapat membantu kami agar mampu pergi lebih jauh dalam bidang yang sangat kami minati ini‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas