Berita

Nelayan dilapor hilang ditemui di Perairan Pulau Tiga

- Diterbit 21 Ogos 2024 1:57 AM MYT

SEORANG nelayan yang dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan di Perairan Kampung Tanjung Aru pada Isnin ditemui selamat terapung hampir 48 jam di Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim, sekitar pukul 1.25 petang, sebuah bot Sukarelawan Bomba Nelayan telah menemui tong ikan berwarna merah di kedudukan empat batu nautika menuju ke Pulau Tiga yang dipercayai milik mangsa.

“Proses pencarian diteruskan oleh pasukan penyelamat di lokasi tersebut dan pada pukul lebih kurang 4.18 minit petang, mangsa berjaya ditemukan di kawasan perairan Pulau Tiga oleh Pasukan Penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Semasa ditemui itu, mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dan sebaik dibawa naik ke dalam bot, mangsa dipakaikan baju seragam APMM sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan APMM Labuan,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Hamizi berkata, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Labuan bagi pemeriksaan dan rawatan susulan.

“Usaha menyelamat mangsa melibatkan seramai 134 pegawai dan anggota selain 11 buah aset milik pelbagai agensi.

“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen semua pasukan yang terlibat dalam membantu mengesan mangsa sehingga akhirnya ditemui,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar memancing seawal pukul 6 pagi Isnin sebelum dilaporkan hilang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas