Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Rashtrapati Bhavan, Istana Presiden India di sini pada Selasa, bersempena dengan lawatan tiga hari beliau ke India.
Anwar yang berada di negara ini dari 19 hingga 21 Ogos, disambut Perdana Menteri India Narendra Modi sebaik tiba pada 9 pagi.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum pemimpin berkenaan memperkenalkan delegasi masing-masing.
Selepas sambutan rasmi itu, Anwar meneruskan lawatan ke Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat bagi upacara mengalungkan bunga.
Perdana Menteri kemudian menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India Dr S. Jaishankar di sebuah hotel di sini.
Pada sebelah petang, Anwar akan menyampaikan syarahan bertajuk Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties di Sapru House, Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA).
Beliau akan menamatkan hari kedua lawatan dengan sesi libat urus bersama diaspora Malaysia di Dewan Serbaguna, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India.
Lawatan ini ialah kunjungan kali pertama Anwar ke India sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
— BERNAMA