Berita

Majlis Perasmian SUKMA berlangsung meriah

- Diterbit 18 Ogos 2024 11:43 AM MYT

FORMASI dron, pertunjukan bunga api dan persembahan daripada barisan artis terkenal tanah air antara acara yang memeriahkan upacara perasmian temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Acara yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang itu turut disaksikan oleh lebih 40,000 penonton dan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Majlis perasmian yang membuka tirainya pada pukul 8.30 malam itu dimulakan dengan paluan gendang diikuti persembahan pembukaan dan perarakan masuk kontinjen-kontinjen yang didahului oleh perarakan Jalur Gemilang dan Bendera Negara/Negeri, simbolik perasmian, upacara menaikkan bendera SUKMA Sarawak 2024 serta lafaz ikrar.

Keterujaan penonton memuncak apabila disajikan dengan persembahan khas iaitu formasi dron yang membentuk perkataan SUKMA XXI serta tema bagi penganjuran kali ini iaitu Matlamat Perpaduan Membara di ruang udara dan diikuti dengan persembahan bunga api.

Penonton juga dihiburkan dengan persembahan daripada barisan artis terkenal tanah air antaranya Faizal Tahir, Jacklyn Victor, Marsha Milan dan Bob Yusuf sebagai penutup acara.

Selain itu, antara kelainan yang ditampilkan pada kali ini adalah penganjur menghimpunkan atlet terkemuka dari Bumi Kenyalang antaranya legenda pecut negara, Watson Nyambek, bekas perenang negara Daniel Bego dan juga barisan penerjun seperti Bryan Nickson Lomas, Traisy Vivien Tukiet, Datuk Pandelela Rinong dan Bertrand Rhodict Lises yang baru pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.

Pandelela dan peninju sensasi Sarawak Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy diberikan penghormatan untuk membawa obor temasya dwitahunan itu.

Turut hadir memeriahkan majlis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalannya, Adam Adli.

Terdahulu, orang ramai mula membanjiri Stadium Sarawak seawal pukul 3 petang bagi menyaksikan upacara perasmian temasya SUKMA Sarawak 2024 yang diadakan malam tadi.

Sebagai rekod, kali pertama Sarawak menganjurkan SUKMA adalah pada 1990 manakala penganjuran terakhir lapan tahun lalu. SUKMA Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian Sarawak hingga 24 Ogos 2024 membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas