Berita

PM gesa belia main peranan depani cabaran semasa

- Diterbit 17 Ogos 2024 2:28 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa anak muda memainkan penting dalam mendepani cabaran semasa.

Beliau berkata anak muda perlu berperanan dalam depani cabaran kemiskinan, fahaman sempit, perkauman, perubahan iklim, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“Anak muda tidak boleh semata-mata membiarkan pimpinan menyelesaikan masalah ini tatkala ramai yang diberi amanah menggunakan kuasa itu untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni.

“Sedangkan rakyat terus bergelumang dalam kemiskinan tegar dan hidup melarat,” katanya di Facebooknya.

Menurut Anwar, anak muda perlu bangkit bersuara memperjuangkan isu-isu kemanusiaan, penderitaan rakyat miskin dan terpinggir, kemusnahan alam sekitar serta rasuah yang merosakkan moral dan negara

“Saya juga sempat lontarkan petikan puisi bertajuk Splendour in the Grass karya William Wordsworth sebagai peringatan buat mahasiswa menggunakan usia dan tenaga muda untuk berjuang membawa idealisme perjuangan.

“Ia juga adalah antara puisi cinta yang pernah saya kirimkan pada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail suatu ketika dulu,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri itu berkata beliau semalam merasmikan Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di Kuala Lumpur bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Anwar berkata di hadapan lebih 1,000 kepimpinan mahasiswa Malaysia dan 46 negara, beliau tegaskan anak muda perlu berpegang teguh pada semangat aktivisme dan idealisme.

“Ini berpaksikan pada keadilan, kebebasan dan kemanusiaan.

“Pegangan ini penting bagi memastikan anak muda tidak menjadi tunggangan mana-mana pihak, khususnya kumpulan perkauman dan pelampau agama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas