Berita

‘Healing’ ke jalan Allah

ANTARA aktiviti menarik menanti si cilik.
- Diterbit 16 Ogos 2024 4:00 PM MYT

MENAMPILKAN konsep healing yang unik dan berbeza daripada karnival-karnival lain, Kayangan Holdings Sdn Bhd bakal mengadakan penganjuran Karnival Healing de’ Masjid yang akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin,  Presint 3, Putrajaya.

Menurut Pengarah Eksekutif Kayangan Holdings, Ahmad Fadli, karnival yang diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September itu menawarkan sentuhan Islamik yang unik dengan mendekatkan diri di masjid.

“Mengambil inspirasi daripada trend popular aktiviti berkhemah di tepi pantai, hutan dan air terjun, konsep ini diterapkan dalam karnival dengan sentuhan Islamik yang unik yang mana ianya adalah yang pertama di Malaysia dan hanya satu-satunya di dunia.

“Karnival bertemakan ‘Muslim Hero’ yang memperkenalkan tokoh-tokoh Islam terkemuka ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara santai kepada semua lapisan generasi selain memberi ruang untuk komuniti pelbagai latar belakang menjalinkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” ujar beliau.

Terdahulu, karnival edisi sebelumnya yang diadakan di Masjid Teras Jernang, Bangi menerima sambutan menakjubkan dengan penglibatan hampir 10,000 pengunjung dan berjaya menarik minat pelbagai pihak untuk jaringan kolaborasi serta jemputan penganjuran di masjid-masjid lain.

“Ini secara langsung memberi impak positif terhadap penganjuran karnival tahun ini yang dijangka lebih besar dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan budaya serta komuniti antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung antaranya Malam Berselawat dan Tausiyah yang diketuai oleh Habib Nael Ben Taher bersama Syeikh Mahmoud Al-Wosabi dan Ustaz Syawal Nizam, Malam Puisi dan Nasyid Nusantara,” ujarnya.

Ahmad Fadli berkata akan berlangsung Program Solat Subuh Macam Jumaat bagi mengajak komuniti setempat melaksanakan solat Subuh secara berjemaah.

“Diselitkan juga acara soladiriti Fun Walk Salam untuk Palestin bersama ikon terkenal seperti Faizal Tahir dan kumpulan Mirwana.

“Dijangka kehadiran pengunjung pada edisi kali ini terdiri daripada kanak-kanak tadika berhampiran, pelajar sekolah rendah dan menengah dari empat negeri sekitar Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Ini termasuklah pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia serta jemputan pelajar-pelajar dari negara jiran Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Karnival ini turut menyasarkan penglibatan kakitangan kerajaan, agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata karnival ini mendapat sokongan daripada pelbagai sektor kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Islamic Tourism Center (ICM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Pihak penganjur turut berbesar hati memberi hadiah misteri kepada pengunjung bertuah yang ke-10,001, 30,001 dan 50,001. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas