MISI memburu pingat emas bagi Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) masih diteruskan dan berada dalam jadual seperti ditetapkan (on track).
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan (CDM) SUKMA 2024, Datuk Parang Abai @ Thomas yang positif bahawa Wilayah Persekutuan akan meraih lebih banyak pingat pada acara seterusnya
“Tidak dinafikan kita ada terlepas beberapa pingat emas seperti dalam acara wushu namun ia berjaya dirangkul oleh atlet lain dalam acara sukan yang sama. Ini menunjukkan kita bakal mempunyai pelapis yang mampu memberi saingan hebat meskipun tidak disenaraikan sebagai prospek.
“Apa yang saya banggakan kali ini adalah kita mempunyai dua orang atlet yang akan bertanding di peringkat akhir dalam acara sanda yang mana sebelum ini kita tidak pernah capai sehingga tahap tersebut bagi acara itu. Hari ini kita dapat lihat perkembangan atlet-atlet kita.
“Dalam acara berbasikal yang berlangsung semalam juga kita hanya kalah tipis dengan pemenang pingat emas dan harini berjaya merangkul dua pingat gangsa. Ini juga menunjukkan bahawa atlet kita setanding dengan yang lain seperti Terengganu dan Perak dalam acara berbasikal.
“Selain itu, kita juga mempunyai tiga acara akhir bagi sukan boling padang esok jadi kita harapkan lebih banyk pingat emas dapat dipungut esok,” ujarnya yang ditemui Wilayahku selepas Majlis Penyampaian Pingat buat atlet wushu.
Dalam pada itu, Parang Abai turut berharap semua warga Wilayah Persekutuan dapat mendoakan atlet yang sedang berjuang untuk merangkul lebih banyak kejayaan.
“Pesanan saya adalah walau apa pun yang berlaku, setiap atlet perlu tanam semangat untuk muncul sebagai juara keseluruhan.
“Saya percaya dan positif bahawa dengan usaha para atlet termasuk doa daripada warga Wilayah Persekutuan, sasaran 70 pingat emas itu dapat dicapai pada temasya kali ini, Insya-Allah,” ujar beliau.
Sehingga kini, Wilayah Persekutuan menduduki tangga kempat secara keseluruhan dengan dua pingat emas, empat perak dan lapan gangsa manakala Terengganu mendahului dengan empat emas diikuti Melaka dan Sarawak masing-masing mempunyai tiga emas. – WILAYAHKU